KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera ditahan selepas memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing di Lebuh Raya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan tersebut menyebabkan seorang penumpang e-hailing berusia 22 tahun maut.
“Pihak kami menerima laporan berhubung kemalangan melibatkan sebuah Perodua Alza dan Ford Fiesta jam 5.38 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera yang merupakan seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh secara berhadapan dengan Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 41 tahun.
Katanya, MPV berkenaan membawa dua penumpang warga Bangladesh masing-masing lelaki berusia 22 tahun dan wanita 20 tahun yang baru tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Akibat pelanggaran itu, penumpang lelaki yang duduk di barisan tengah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala penumpang wanita pula cedera pada anggota badan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya lagi.
Tambah beliau, pemandu MPV e-hailing turut mengalami kecederaan di kepala sementara pegawai tentera terbabit hanya cedera ringan.
Seorang lagi penumpang wanita tempatan berusia 36 tahun dalam kereta Ford Fiesta turut cedera dan menerima rawatan di hospital sama..
Mohd Zamzuri berkata, ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had dibenarkan, manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.
Katanya, pemandu terbabit sudah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette
















