KPDN melakukan serbuan di sebuah stor haram yang mengumpul diesel bersubsidi di Taman Mount Austin, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membongkar taktik sindiket yang menyalahgunakan fleet card untuk mengumpul diesel bersubsidi selepas serbuan di sebuah stor haram di Taman Mount Austin di sini, hari ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan pada pukul 2.30 pagi itu dilakukan sepasukan anggota penguatkuasaan KPDN selepas melakukan risikan selama seminggu.

“Pihak berkuasa merampas kira-kira 11,500 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM58,880, selain tambahan 1,200 liter diesel dalam tangki IBC bernilai RM6,144.

“Sebanyak lapan keping fleet card turut dirampas dipercayai digunakan sindiket untuk mengisi minyak secara berulang sebelum dikumpulkan di lokasi berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Armizan berkata, turut disita sebuah tangki IBC berisi diesel, pam minyak, peralatan hos, sebuah tangki treler, kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori bonded serta empat unit tangki IBC dalam muatan lori.

Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan nilai sitaan dianggarkan mencecah RM265,986.48 manakala nilai sitaan minyak diesel sahaja sebanyak RM65,024.

Katanya, tiga individu membabitkan seorang warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia 30-an hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kerajaan katanya, tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan termasuk penyalahgunaan fleet card bagi mengaut keuntungan secara tidak sah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast