MARAN – Seorang suri rumah di sini kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan sindiket skim pelaburan tidak wujud secara atas talian.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, wanita berusia 51 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan individu tidak dikenali melalui aplikasi Facebook pada hujung tahun lepas.
“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan diperkenalkan dengan satu pelaburan saham yang menawarkan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian telah berurusan dengan individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘leader‘ dan ‘supervisor‘ pelaburan tersebut.
Susulan itu, katanya, mangsa telah membuat sebanyak 38 transaksi ke 14 akaun berbeza seperti yang diarahkan suspek sepanjang tempoh 10 Disember 2025 hingga 2 Februari 2026.
“Namun, setelah memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM108,027, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan dan terus diminta membuat bayaran tambahan,” katanya lagi.
Menurut Wong, mangsa telah menggunakan wang simpanan selain meminjam wang daripada ahli keluarga dan rakan-rakan bagi tujuan pelaburan tersebut.
Menyedari dirinya ditipu, mangsa katanya, membuat laporan di balai polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















