MAKKAH – Seramai 5,364 orang jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci setakat jam 12 tengah malam, 24 April 2026.
Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), 19 penerbangan yang membawa jemaah haji Malaysia telah tiba di sini.
Manakala satu penerbangan lagi sedang dalam perjalanan ke Madinah.
Perjalanan haji musim 1447H bermula pada 18 April lalu dengan melibatkan pergerakan 31,600 orang jemaah yang bergerak secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan.
Semalam, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 260 orang telah tiba di Makkah kira-kira jam 4.30 petang, dan ditempatkan di Hotel Abraj Al Tayseer yang juga pusat operasi TH di Makkah.
Mereka kemudian melaksanakan umrah wajib di Masjidil Haram secara berperingkat bermula jam 9 malam, diiringi para petugas TH. – MalaysiaGazette
















