KUALA LUMPUR – Mekanik ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’ yang tular di media sosial menerima tajaan umrah untuk dua orang daripada TV Al-Hijrah yang mendapat sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan hari ini.
Mohd. Yusof Mohd. Noor bersyukur atas tajaan itu dan menyifatkan peluang itu amat bermakna kerana ia membolehkan beliau menunaikan hasrat lama untuk membawa ibunya ke Tanah Suci.
“Alhamdulillah, syukur rezeki milik Allah. Terima kasih kepada Dr Zulkifli (dan TV Al-Hijrah) yang beri saya peluang pergi umrah.
Sebelum ini, menerusi perkongsian akaun ‘Minyak Hitam Jalanan Original’, Mohd Yusof menyentuh hati orang ramai apabila membantu seorang pemuda Cina dikenali Dicky yang berdepan kesulitan akibat motosikal pemuda itu rosak di tepi jalan sekitar pukul 12 tengah malam.
Kos pembaikan alat ganti berserta upah bernilai RM145.
Sebaik kerja pembaikan selesai, dia mendapati lelaki berkenaan hanya mempunyai wang yang cukup untuk kegunaannya sendiri.
Tersentuh dengan situasi itu, Mohd Yusof mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang caj dan menggunakan wang infak bagi menampung kos pembaikan itu.
Katanya, segala usaha dilakukan hanyalah sebagai amanah dalam menguruskan sumbangan orang ramai yang ingin membantu golongan memerlukan.
“Saya buat semua ini kerana Allah. Saya tak minta apa-apa balasan, ini semua rezeki yang Allah aturkan. Saya cuma jalankan tanggungjawab sebagai orang yang diamanahkan untuk salurkan infak orang ramai.
“Saya juga tak berani ambil duit infak banyak-banyak sebab takut tersalah guna atau gelap mata. Apa yang saya buat ini sekadar membantu setakat mampu,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong serta mendoakan usaha yang dilakukannya selama ini.
“Terima kasih kepada semua yang doakan saya. Ramai lagi rakyat Malaysia yang buat kebaikan, bukan saya seorang. Kadang-kadang nampak kecil, tapi besar maknanya.
“Terima kasih juga kepada isteri saya yang sentiasa beri semangat. Tanpa dia, saya mungkin tak berada di tahap ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, keputusan menaja dua tiket penerbangan umrah itu dibuat selepas mengetahui Mohd Yusof belum pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Saya tanya beliau sama ada pernah pergi haji atau umrah dan beliau kata, belum. Jadi hari ini kita umumkan untuk hadiahkan dua tiket penerbangan umrah.
“Terpulang kepada beliau untuk memilih siapa yang akan ikut bersama,” katanya. – MalaysiaGazette
















