KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup 10 tan beras dipercayai dari Thailand gagal selepas dua lelaki tempatan ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas, Kelantan.
Kedua-dua suspek dicekup Pasukan Strike Force Kompeni C, Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu kira-kira pukul 2.05 pagi semalam.
“Penahanan dibuat selepas anggota rondaan mengesan sebuah lori Isuzu berwarna biru dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak memberhentikan kenderaan tersebut untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa sebanyak 10,000 kilogram beras yang disyaki diseludup dari negara Thailand melalui laluan tidak diwartakan.
“Kedua-dua suspek, masing-masing berasal dari Kampung Kubang Pak Hitam, Pasir Mas, ditahan di lokasi kejadian,” menurut kenyataan PGA.
Turut dirampas sebuah lori dianggarkan bernilai RM80,000 bersama muatan beras bernilai sekitar RM40,000, menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM120,000.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil bekalan beras dari sebuah pangkalan haram sebelum dihantar ke lokasi tertentu dengan bayaran sekitar RM100 bagi setiap perjalanan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994 dan telah dirujuk kepada pihak Kawalselia Padi dan Beras Negara untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















