KUALA LUMPUR – Pertumbuhan tahunan Indeks Pelopor (IP) Malaysia kekal positif dengan mencatatkan 0.5 peratus pada Februari 2026, mencecah 113.1 mata berbanding 112.5 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (18.7%) merupakan penyumbang utama kepada kenaikan ini dan diikuti oleh Penawaran Wang Benar, M1 (8.4%).
Peningkatan ini mencerminkan aktiviti perdagangan dan aliran kecairan dalam ekonomi domestik yang masih kukuh, sejajar dengan permintaan yang berterusan dalam sektor berkaitan.
Di sebalik peningkatan tersebut, prestasi keseluruhan turut dipengaruhi oleh penurunan dalam beberapa komponen, dengan lima daripada tujuh komponen merekodkan penyusutan, terutamanya Bilangan Unit Kediaman Yang Diluluskan Pembinaan (-22.2%).
Dari segi prestasi bulanan, IP menyusut 0.3 peratus disebabkan oleh penyederhanaan dalam beberapa komponen,terutamanya Import Benar Semi Konduktor dan Bilangan Syarikat Baru Didaftar, masing-masing menurun 0.6 peratus.
”Trend arah aliran jangka panjang terlicin IP pada Februari 2026 kekal berada di bawah 100.0 mata, mencerminkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek yang sederhana, disokong oleh asas domestik yang berdaya tahan.
Walau bagaimanapun, ketegangan geopolitik yang berterusan, di samping turun naik harga komoditi dan minyak mentah global, boleh menjejaskan aktiviti perdagangan, walaupun kesan keseluruhannya dijangka kekal terkawal.
Serentak (IS) menyaksikan peningkatan sebanyak 1.6 peratus dengan 129.4 mata berbanding 127.4 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini disumbangkan oleh hampir kesemua komponen kecuali Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan (-1.5%).
Bagaimanapun, pada asas bulanan, IS menguncup sebanyak1.4 peratus, mencerminkan prestasi yang lebih perlahandalam beberapa komponen, terutamanya dalam Nilai Caruman Benar, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)(-0.6%).
Momentum yang lebih perlahan ini disokong oleh pendekatan yang lebih berhati-hati dalam kalangan majikan di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang tidak menentu, termasuk tekanan kos, pelarasan pasaran buruh serta ketidaktentuan global yang mempengaruhi momentum ekonomi semasa. – MalaysiaGazette
















