Anwar Ibrahim dalam program Sesi Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa golongan muda di negara ini supaya celik geopolitik dan memahami realiti semasa.

Jelas beliau, ia sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan krisis global yang semakin mencabar.

“Situasi tidak menentu ketika ini menuntut rakyat khususnya generasi muda untuk lebih peka dan berpengetahuan, agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang tersebar di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog pada program Sesi Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim, di sini hari ini.

Beliau berkata, anak-anak muda perlu faham fakta serta realiti semasa, dan tidak hanya bergantung kepada maklumat singkat tanpa penelitian.

Sebaliknya, tegas beliau, golongan itu wajar mempunyai pengetahuan dan mendalami isu semasa termasuk geopolitik kerana memberi kesan langsung kepada negara.

“Sikap cepat menghukum atau membuat kesimpulan berdasarkan maklumat singkat adalah tidak sihat dan boleh merosakkan keharmonian masyarakat.

“Ini bukan tanda kematangan atau keilmuan, kita mahu generasi yang berfikir, meneliti dan mempunyai adab dalam berbeza pandangan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast