Anwar ketika berucap program Sesi Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Peraturan lebih ketat perlu dilaksana terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan amal yang menjalankan kutipan derma awam bagi mengelak berlaku penyelewengan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut wajar kerana ketika ini semakin banyak kepincangan dan penyalahgunaan wang derma dilaporkan termasuk oleh pihak yang menggunakan nama Islam.

“Banyak NGO banyak guna nama Islam, kutip dana puluhan juta dan kata nak bantu rakyat Palestin tetapi akhirnya belanjakan harta itu. Sekarang kita dengar kutipan dana khairat dan sebagainya tetapi beli kemudahan peribadi.

“Jadi, harus ada peraturan lebih ketat kawal perbelanjaan mana-mana badan kebajikan, khairat, amanah atau yayasan yang kutip derma tetapi seleweng, nak kata rasuah bukan kerana mereka kutip derma secara sah, ada sijil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog pada program Sesi Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Temenggong Ibrahim hari ini.

Anwar mendakwa, ada NGO kutip derma RM100 juta namun dana yang sampai hanya RM20 juta kerana baki  RM80 juta diambil sebagai kos operasi.

Kata Anwar, pihaknya akan memastikan perkara tersebut diberikan perhatian sewajarnya bagi memastikan dana-dana awam yang dikutip melalui derma tidak disalahgunakan.

Pada 23 April lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dilaporkan berkata, kerajaan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan berhubung kes penyelewengan dana membabitkan NGO berjumlah RM230 juta.

Marhamah turut meminta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan memberi pihak berkuasa perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk menjalankan siasatan terperinci tanpa sebarang gangguan atau campur tangan luar.

Sebelum itu media melaporkan, timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama pengarah syarikat ditahan reman selama empat hari sehingga 27 April bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Susulan itu, SPRM Selangor menahan tiga individu termasuk timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Dua lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast