KUALA LUMPUR – Permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Mei ini.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menetapkan tarikh itu selepas peguam, Datuk Hamidi Mohd. Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan, pihaknya memohon untuk menangguhkan keputusan yang sepatutnya ditetapkan hari ini.
“Mahkamah menetapkan 14 Mei untuk keputusan tertakluk kepada satu keputusan Mahkamah Rayuan (berhubung rayuan Badan Peguam terhadap Ahmad Zahid) yang akan diumumkan pada 7 Mei,” kata hakim.
Semasa prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Armadan dan peguam pemerhati Badan Peguam iaitu Collin Andrew.
Pada 24 Februari lalu, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Ahmad Zahid untuk dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Namun Hakim Nurulhuda memaklumkan walaupun pihak pendakwaan tidak membantah, mahkamah tidak akan membuat keputusan terhadap permohonan tersebut sehingga keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes melibatkan Badan Peguam diumumkan.
Ahmad Zahid memfailkan permohonan untuk dilepas dan dibebaskan daripada 47 pertuduhan dengan menamakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai responden.
Permohonan itu dikemukakan ekoran kenyataan media Peguam Negara pada 8 Januari lalu yang menyatakan tiada tindakan lanjut (NFA) dikenakan terhadap 47 pertuduhan berkenaan.
Menurut AGC, keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes tersebut selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.
AGC berkata, pihaknya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong meneruskan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Pada 4 Setember 2023, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette
















