NILAI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang mendapatkan maklumat transaksi kewangan daripada pihak bank bagi membantu siasatan kes dakwaan penyelewengan dana kutipan awam mencecah RM230 juta.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, fokus utama ketika ini adalah mendapatkan pengesahan bank berhubung aliran wang keluar masuk termasuk akaun individu yang dipercayai menerima dana tersebut.
Beliau menegaskan, individu yang dikenal pasti menerima wang berkenaan akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Jadi, kita sedang mendapatkan banyak lagi maklumat-maklumat dan juga keterangan terutama yang kami nak menunggu sekarang adalah confirmation daripada pihak bank berapa banyak wang telah masuk dalam akaun peribadi mana-mana pihak.
“Mana-mana pihak yang mananya terlibat menerima wang berkenaan kita akan panggil untuk siasatan,” katanya.
Azam berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian antara SPRM dan Leadership and Management University (ELMU) di Bandar Baru Ensek, Nilai, Negeri Sembilan hari ini.

Menurut beliau, siasatan dijangka berkembang sebaik dokumen bank diperoleh kerana ia berpotensi mendedahkan lebih ramai pihak yang menerima dana berkenaan.
Azam memaklumkan dokumen bank dijangka diperoleh seawal seminggu, namun siasatan memerlukan rekod transaksi sejak 2018 sekali gus mungkin mengambil sedikit masa sebelum perkembangan baharu diumumkan.
“Saya jangka bila mendapat akaun bank akan menunjukkan banyak lagi pihak-pihak yang menerima, jadi kita akan panggil untuk mendapatkan penjelasan daripada mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azam turut menekankan keperluan mewujudkan undang-undang baharu bagi memantau dana yang disalurkan kepada NGO khususnya yang melibatkan sumbangan awam menggunakan platform agama.
“Jadi, perlu ada satu mekanisme atau undang-undang baru di mana untuk mengawal dan juga menilai wang-wang yang masuk dalam NGO begini,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini, tiada undang-undang khusus yang memantau dana masuk ke NGO, sedangkan masyarakat sering menyumbang atas dasar kepercayaan.
“Kerana setakat ini tak ada undang-undang yang boleh memantau wang masuk dalam NGO dengan menggunakan berbagai platform antaranya tonggang agama lah jadi, bila menunggang agama tak kira agama apa pun masyarakat memberi derma dan sebagainya untuk mereka uruskan tapi disalahgunakan,” katanya lagi.
Selasa lalu, badan itu menahan tiga individu termasuk seorang pemimpin kanan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Penahanan tersebut turut membongkar pemilikan pelbagai aset mewah, dipercayai hasil daripada manipulasi dana awam bagi kepentingan peribadi.
Dua pengarah syarikat dan seorang timbalan pengerusi NGO berusia antara 50 hingga 60-an itu ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bersubahat memindahkan dana berjumlah RM 230 juta ke akaun syarikat milik mereka bagi tujuan pelaburan peribadi sejak tahun 2018.
Susulan tangkapan tersebut, SPRM menyita 18 kenderaan mewah termasuk Porsche dan Mercedes selain jam tangan berjenama serta wang tunai. – MalaysiaGazette
















