PENANTI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan tamat perkhidmatan, Tan Sri Azam Baki atas sumbangan dan tanggungjawab yang dilaksanakan sepanjang mengetuai agensi itu.
Beliau berkata, Azam telah menjalankan tugasnya sebaik mungkin sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai peneraju badan antirasuah negara berkenaan.
“Pertama, kita ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Azam Baki yang telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Kini, tiba pula giliran Ketua Pesuruhjaya baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI Kubang Semang di Yayasan Aman di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilihat sebagai pilihan yang tepat berdasarkan latar belakang serta kredibilitinya dalam bidang kehakiman.
Menurutnya, Abdul Halim tidak mempunyai penglibatan dalam mana-mana kepentingan perniagaan besar mahupun parti politik, sekali gus diyakini mampu menggalas tanggungjawab memimpin SPRM.
“Beliau datang daripada bidang kehakiman dan tidak terlibat dengan kepentingan perniagaan atau politik. Saya percaya beliau sesuai untuk menakhodai SPRM dan memperkukuh lagi keupayaan agensi itu,” katanya.
Tambah beliau, pelantikan berkenaan telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dengan tempoh pelantikan selama dua tahun dipersetujui. – MalaysiaGazette

















bila pulak mereka nak turun berarak himpunan tangkap RAFIZI. Baru lah adil