Tan Sri Azam Baki.

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyeru seluruh anggota agensi itu memberikan kerjasama tidak berbelah bahagi kepada Ketua Pesuruhjaya baharu kelak.

Azam turut melahirkan keyakinan kecemerlangan SPRM akan berterusan pada masa depan menerusi dedikasi para pegawainya di bawah kepimpinan baharu kelak.

Dalam masa sama, Azam turut merafak sembah ucapan terima kasih terhadap Sultan Ibrahim atas kepercayaan Yang di-Pertuan Agong menyambung kontrak perkhidmatan beliau sepanjang tiga kali sebelum ini.

“Dan ini merupakan satu penghormatan kepada saya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa 13 Mei depan.

Sementara itu, ditanya perancangan masa depannya selepas tempoh perkhidmatannya tamat kelak, Azam berkata: “Saya belum tahu lagi kerana saya masih lagi sihat, boleh joging, naik basikal dan sebagainya.”

“(Tapi) saya tak akan pergi berhimpun di Sogo akan datang,” katanya merujuk kepada himpunan #TangkapAzamBaki yang dianjurkan kumpulan tertentu.

Kepada persoalan sama ada beliau akan menyertai politik, Azam bagaimanapun menegaskan perkara itu tidak pernah difikirkan beliau.

“Dalam hati saya, saya bukan orang politik. Saya merupakan seorang insan pegawai kerajaan, kerja saya untuk berbakti kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast