Muhammad Fauzi Muniran (depan) memeriksa bagasi-bagasi jemaah haji yang diletakkan di tepi bilik masing-masing.

MAKKAH – Ahli keluarga di Malaysia tidak perlu bimbang jika ibu atau bapa yang datang berseorangan ke Tanah Suci dengan bagasi yang besar dan berat.

Ia kerana semua urusan membawa bagasi mereka hingga ke pintu bilik diuruskan oleh petugas Lembaga Tabung Haji.

Penolong Pengurus Maktab 63, Muhammad Fauzi Muniran berkata, bagasi-bagasi jemaah dipastikan siap disusun berserta dengan tagging di tepi bilik masing-masing sebelum mereka tiba di tempat penginapan.

“Mereka hanya turun bas dengan membawa beg troli dan beg sandang sahaja dan boleh terus naik ke bilik masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini di tempat penginapan jemaah di Hotel Abraj Al Tayseer.

Di setiap bilik pula akan diletakkan nama-nama jemaah.

Pendekatan yang dilaksanakan oleh Tabung Haji selama ini dapat mengurangkan beban dan keletihan mereka selepas menempuhi perjalanan yang jauh selama lapan jam terutama bagi warga emas,

Fauzi berkata, selain menguruskan bagasi, pihaknya juga memastikan susunan bilik diambil perhatian bagi memastikan keselesaan jemaah haji sepanjang tempoh berada di sini.

Bagasi-bagasi yang disusun kemas di tepi bilik penginapan jemaah haji di Hotel Abraj Al Tayseer.

Katanya, di Abraj Al Tayseer menempatkan 4,207 jemaah dengan pembahagian bilik disusun untuk tiga, empat dan lima jemaah di setiap bilik.

Jelasnya, susunan bilik itu bergantung kepada saiz bilik.

“Macam di Abraj Al Tayseer ini, 70 peratus susunan melibatkan empat jemaah dalam sebuah bilik,” ujarnya.

Meskipun begitu, Tabung Haji turut mengambil perhatian bagi jemaah yang datang bersama keluarga dan mereka akan ditempatkan pada aras yang sama kerana bilik berasingan mengikut jantina.

“Bila mereka berada berdekatan, mereka mudah untuk berhubung dan saling membantu,” tambahnya lagi.

Selain itu, Tabung Haji juga mengambil perhatian aspek sensitiviti dalam penempatan jemaah wanita dan lelaki terutama melibatkan susun atur bilik.

Menurut beliau, pihaknya akan mengelakkan pintu bilik jemaah wanita dan lelaki bertembung secara berdepan demi keselesaan mereka terutama melibatkan aurat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast