MELAKA – Seorang pempengaruh terkenal dari Melaka yang dipercayai menjadi punca kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun positif dadah selepas memakan gula-gula ganja miliknya minggu lalu, akan dituduh di Kompleks Mahkamah Melaka, Isnin ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, arahan mendakwa pempengaruh lelaki berusia 39 tahun itu diterima daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), semalam.
“Arahan TPR untuk tuduh suspek Isnin ini di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan, seorang ‘influencer’ lelaki terkenal dari Melaka yang mempunyai hampir 600,000 pengikut disemua platform media sosial direman bagi membantu siasatan kes menimpa kanak-kanak berusia tiga tahun itu yang dikesan pada 14 April lalu.
Ibu mangsa memaklumkan kepada pihak hospital anaknya itu sebelum ini berada di bawah jagaan seorang pengasuh iaitu ibu pempengaruh lelaki berkenaan di kawasan Sungai Putat.
Dzulkhairi dilaporkan berkata, punca kejadian ialah apabila kanak-kanak terbabit memakan gula-gula disyaki mengandungi dadah dipercayai milik pempengaruh terbabit yang disimpan di dalam peti ais rumah ibunya.
Selepas menerima rawatan hospital, mangsa kemudian dibenarkan pulang ke rumah.
Susulan itu, polis menahan suspek kira-kira jam 9.30 malam 15 April lalu sebelum direman selama tujuh hari sehingga 22 April, namun tempoh reman disambung lima hari lagi sehingga 27 April.
Siasatan awal mendapati, gula-gula tersebut dibeli suspek dari negara jiran, namun hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan, atau pendedahan kanak-kanak kepada bahaya oleh penjaga. – MalaysiaGazette
















