KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan suapan berjumlah RM225.3 juta, bersambung di Mahkamah Tinggi, Selasa ini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin dijadual berlangsung selama dua hari berturut-turut sehingga Rabu.
Pada 16 April lalu, dua pegawai bank dalam keterangannya berkata, wang berjumlah RM5 juta telah dimasukkan ke akaun milik parti Bersatu.
Penolong Pengurus Cawangan CIMB Bukit Tunku Herdayanti Md Hasan, 44, berkata, wang berjumlah RM2 juta, RM1 juta, RM500,000 dan RM500,000 telah dikeluarkan melalui cek atas nama ahli perniagaan Datuk Azman Yusoff pada 24 September 2021 dan 3 November 2022 sebelum dimasukkan ke akaun itu.
Sementara itu, Penolong Pengurus Cawangan Maybank Kota Kemuning Alfian Othman, 57, berkata pada 21 Februari 2022, syarikat Nepturis Sdn Bhd telah membuat transaksi RM1 juta melalui cek.
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata, cek bertarikh 16 Februari 2022 tersebut dilunaskan pada 21 Februari 2022 kepada Bersatu.
Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta ahli perniagaan itu bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette
















