Shazeli Kahar

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 46 tahun di Pandan Indah dekat sini hari ini bagi membantu siasatan kes ingkar perintah Sultan Selangor berkaitan pelaksanaan solat Jumaat di Surau Taman Seraya, Ampang.

Tangkapan dibuat kira-kira pukul 3 petang tadi susulan laporan berhubung kejadian yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit serta beberapa dokumen bagi membantu siasatan lanjut.

Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan adalah negatif.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Shazeli, siasatan dijalankan secara profesional dan telus mengikut lunas undang-undang tanpa sebarang kompromi.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan serta menjejaskan ketenteraman awam.

“Pihak polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi melampau sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Isu azan di Ampang: Suspek diletak dalam senarai dihalang ke luar negara – Polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast