Seorang pelajar Tingkatan Lima terjatuh ke dalam telaga sedalam 5.5 meter di Tumpat, pagi tadi. Foto ihsan JBPM Kelantan

KUALA LUMPUR – Pelajar Tingkatan Lima yang terjatuh ke dalam telaga di sebuah sekolah di Kelantan, hari ini masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan berkata, punca kemalangan sedang disiasat.

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan prihatin terhadap kejadian murid terjatuh ke dalam telaga di sebuah sekolah di sini pada hari ini.

“Tumpuan JPN Kelantan pada ketika ini adalah untuk memastikan rawatan terbaik kepada murid dan sokongan diberi kepada keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

JPN Kelantan turut mengingatkan semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya untuk meningkatkan pematuhan aspek keselamatan supaya kejadian seumpama ini tidak berulang.

Terdahulu media melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah kebangsaan agama di Tumpat terjatuh ke dalam perigi sedalam 5.5 meter, pagi tadi sebelum diselamatkan bomba.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Wan Ahmad Mukhlis Wan Md Fadhli, 17, mengalami kecederaan pada bahagian kepala selepas terjatuh ke dalam perigi yang dipenuhi air hingga paras pinggang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Azmi Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai duduk di atas penutup perigi yang diperbuat daripada simen sementara menunggu peperiksaan yang dijadualkan pada pukul 11 pagi.

Menurutnya, mangsa ketika itu sedang berbual bersama rakan-rakan sebelum penutup perigi tersebut tiba-tiba pecah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast