Logo NexG di Bangunan Setia 1, Damansara Height, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 APRIL 2026.
Logo NexG di Bangunan Setia 1, Damansara Height, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – NexG Berhad menegaskan syarikat itu kekal mematuhi piawaian kawal selia serta tadbir urus korporat dan memilih untuk tidak mengulas lanjut dakwaan Malaysia Corruption Watch (MCW) yang mengaitkan bekas Ketua Pegawai Operasinya dengan isu salah guna dana.

“Selaras dengan amalan tadbir urus yang baik dan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak, NexG tidak akan terlibat dalam sebarang komen awam lanjut berhubung dakwaan khusus ini pada ketika ini,” menurut kenyataan syarikat itu, memetik laporan The Edge.

Victor Chin Boon Long, yang memegang jawatan COO dari November 2024 hingga September 2025, didakwa MCW berpotensi menggelapkan dana syarikat berjumlah RM303.7 juta.

Sebelum ini, MCW turut menyerahkan memorandum kepada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanifah Noordin, menggesa penjelasan yang jelas serta telus diberikan kepada umum.

NexG yang baru-baru ini menyelesaikan konflik dalaman lembaga pengarahnya memaklumkan pihaknya mengakui penerimaan memorandum yang dikemukakan MCW berhubung pelaburan syarikat.

“NexG ingin menegaskan bahawa syarikat memandang serius perkara yang dibangkitkan dan kekal komited kepada prinsip ketelusan, tadbir urus yang baik serta pematuhan terhadap semua peraturan yang berkuat kuasa.

“Semua maklumat berkaitan pelaburan syarikat, termasuk rasional, struktur dan perkembangan korporat yang berkaitan, telah didedahkan sewajarnya melalui pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia selaras dengan keperluan penyenaraian, selain melalui saluran komunikasi awam lain,” tambah kenyataan itu.

NexG turut menegaskan semua pendedahan berkaitan pelaburannya dibuat secara tepat pada masanya dan telus.

Ia juga bersedia memberi kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa kawal selia atau penguat kuasa yang berkaitan sekiranya sebarang penjelasan atau semakan diperlukan,” katanya lagi.

Untuk rekod, NexG sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Bhd, iaitu pembekal tunggal buku pasport dan produk berkaitan MyKad di Malaysia, dan kini berada di bawah perhatian susulan dakwaan cubaan pengambilalihan oleh pihak yang digelar sebagai ‘mafia korporat’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast