Seorang pemandu jentera maut apabila traktor yang dipandunya terjatuh ke dalam kolam buangan sisa sawit di sebuah kilang sawit di Raub malam tadi.

RAUB – Seorang pemandu jentera berat maut selepas jentera yang dikendalikannya terjunam ke dalam kolam buangan sisa sawit di Tian Siang Oil Mill, Kampung Tersang, dekat sini malam tadi.

Mangsa, Mohamad Syariffudin Jemain, 37, yang mengendalikan sebuah jentera jenis shovel, dipercayai hilang kawalan ketika sedang mengundur sebelum kenderaan itu terbalik dan terjunam ke dalam kolam sedalam kira-kira 15 kaki dalam kejadian kira-kira jam 9 malam tadi.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub melaporkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.11 malam sebelum sebuah jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pada jam 9.38 malam, mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh pekerja kilang sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kemalangan melibatkan seorang lelaki dewasa bersama sebuah jentera berat jenis shovel yang terjunam ke dalam kolam buangan sisa sawit berukuran kira-kira 30 x 50 kaki persegi.

“Semasa pasukan bomba tiba, mangsa telah dikeluarkan oleh pekerja kilang namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, siasatan awal polis mendapati mangsa yang bekerja sebagai pemandu kilang sawit sedang mengendalikan jentera jenis Changlin ZL30H-5 di dalam kawasan kilang sebelum kemalangan berlaku.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Bin Abdul Rahman berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai sedang mengundurkan jentera tersebut sebelum hilang kawalan lalu terbalik dan masuk ke dalam kolam berhampiran.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit dan lemas sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa ketika mengendalikan jentera berat berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala bedah siasat akan dijalankan di Hospital Raub bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast