Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman.

JOHOR BAHRU – Johor perlu mengubah pendekatan sistem penilaian menjadikan ketua kampung sebagai ‘cybertrooper’ dalam media sosial dengan sistem penilaian yang lebih menyeluruh dan berasaskan impak sebenar kepada rakyat.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, pendekatan tersebut lebih terhormat dan adil kepada mereka dalam menjalankan tanggungjawab di peringkat akar umbi.

“Antaranya memperkenalkan Indeks Prestasi Ketua Kampung yang menilai aspek kebajikan masyarakat, keberkesanan penyelesaian aduan, tahap kebersihan dan keselamatan kampung serta kejayaan pelaksanaan program komuniti.

“Selain itu, kerajaan juga disaran mewujudkan platform maklum balas rakyat secara berkala seperti tinjauan komuniti atau dialog terbuka bagi memastikan suara penduduk diambil kira secara langsung,” katanya dalam satu kenyataan.

Pejuang Johor turut mencadangkan agar latihan kepimpinan dan pengurusan komuniti diperkasakan kepada keua kampung, termasuk penggunaan media sosial secara beretika sebagai alat penyampaian maklumat, bukan sebagai kayu ukur prestasi.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri boleh memperkenalkan sistem pelaporan berkala yang telus dan berfokus kepada hasil kerja sebenar di lapangan disertai pemantauan oleh pihak berkecuali bagi menjamin keadilan.

Pejuang Johor menegaskan bahawa keberkesanan kepimpinan perlu dinilai berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah rakyat, tahap kesejahteraan komuniti, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta integriti dan kepercayaan masyarakat.

Justeru pihaknya menggesa kerajaan negeri agar mengkaji semula cadangan menjadikan ketua kampung sebagai ‘budak suruhan’ dan cybertrooper dalam media sosial sebaliknya memberi fokus kepada petunjuk prestasi yang lebih realistik, berimpak tinggi serta benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Pejuang Johor komited untuk terus memperjuangkan kepimpinan yang berteraskan khidmat, integriti dan keutamaan kepada rakyat, bukan sekadar populariti dalam media sosial,” ujanya.

Pada masa sama Pejuang Johor memandang serius cadangan memperkenalkan sistem pemantauan yang menilai prestasi ketua kampung itu berdasarkan tahap penglibatan aktiviti menekan butang like, comment dan share dalam media sosial.

Beliau berkata, pendekatan itu adalah tidak wajar dan tidak mencerminkan keutamaan sebenar dalam kepimpinan akar umbi.

“Peranan ketua kampung seharusnya tertumpu kepada menjaga kebajikan rakyat, menyelesaikan isu setempat serta menjadi penghubung berkesan antara masyarakat dan pihak kerajaan, bukannya mengejar skor interaksi di platform digital.

“Mengukur prestasi melalui aktiviti media sosial berisiko mewujudkan budaya ‘politik persepsi’ berbanding ‘politik khidmat’ di samping membuka ruang kepada amalan tidak sihat seperti manipulasi interaksi dan penyebaran maklumat tidak sahih,” katanya.

Pihaknya juga bimbang pendekatan itu akan memberi tekanan tidak sepatutnya kepada ketua kampung khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan capaian internet serta jurang kemahiran digital.

“Keadaan ini boleh menyebabkan penilaian yang tidak adil dan tidak menyeluruh terhadap prestasi sebenar pemimpin di peringkat akar umbi,” tambahnya.

Terdahulu tular arahan gerak kerja media sosial untuk ketua kampung di negeri ini susulan amanat Menteri Besar Johor kepada mereka baru-baru ini.

Amanat tersebut mahukan setiap daripada 657 ketua kampung di Johor diwajibkan mempunyai akaun Facebook dan TikTok masing-masing sebagai medium rasmi bagi penyampaian dasar-dasar kerajaan Nlnegeri serta hebahan semasa kepada komuniti setempat.

Setiap Ketua Kampung diwajibkan melaksanakan peranan like, comment dan share bagi setiap hantaran Menteri Besar Johor serta sebarang arahan rasmi yang dikeluarkan oleh pejabat Exco.

Bagi tujuan pemantauan, setiap ketua kampung diberikan ‘nombor badan’ rasmi dalam bentuk hashtag (cth: #KKJB1).

Nombor badan tersebut digunakan sebagai mekanisme pemantauan di peringkat individu bagi setiap seorang ketua kampung.

Setiap komen yang dibuat dalam Facebook dan TikTok Menteri Besar Johor hendaklah menggunakan hashtag (nombor badan) tersebut.

Bagi tujuan pemantauan, setiap ketua kampung dipohon bekerjasama dan hendaklah melaporkan kepada Wakil Mukim masing-masing, setiap kali peranan like, share dan comment dilaksanakan bagi hantaran Menteri Besar Johor.

Prestasi serta tahap komitmen setiap ketua kampung sedang direkod dan dinilai secara terusan untuk pelaporan kepada Menteri Besar Johor setiap minggu.

Pendekatan itu mendapat kecaman pelbagai pihak yang dianggap menjadikan ketua kampung ‘budak suruhan’ dan diperalatkan untuk kepentingan politik pihak tertentu.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast