Sebahgaian daripada warga Indonesia yang terlibat dalam cubaan penyeludupan migran dalam operasi khas awal pagi semalam di Terminal Bersepadu Gombak dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS),

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan migran warga Indonesia dalam operasi khas awal pagi semalam di Terminal Bersepadu Gombak dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS), dengan penahanan 11 individu termasuk seorang ‘transporter’ serta rampasan sebuah kenderaan utiliti sukan.

Operasi oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat JIM Putrajaya itu adalah hasil risikan terhadap pergerakan migran yang tiba ke Lembah Klang dari Kelantan menggunakan bas ekspres.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, di Terminal Bersepadu Gombak, seramai dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia ditahan bersama seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ yang mengurus logistik pergerakan migran di sekitar ibu negara.

Sementara itu, di Terminal Bersepadu Selatan, pihak JIM menahan tiga lelaki dan tiga wanita warga sama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket berkenaan.

“Sebuah kenderaan jenis Mazda CX-5 yang digunakan untuk mengangkut migran turut disita.

“Siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan telah mengubah modus operandi daripada menggunakan laluan laut di perairan Selangor kepada kaedah lebih kompleks melalui laluan udara dan darat secara berlapis bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Kenderaan jenis Mazda CX-5 yang digunakan untuk mengangkut migran turut disita.

Zakaria berkata, migran dipercayai tidak menggunakan penerbangan terus ke Malaysia kerana kebanyakan telah disenaraihitam.

Sebaliknya jelas beliau, mereka melalui laluan Indonesia ke Singapura sebelum diterbangkan ke Hat Yai, Thailand, termasuk menggunakan KLIA sebagai transit.

Katanya lagi, setibanya di Hat Yai, migran ditempatkan di rumah transit sebelum diseludup masuk ke Kelantan melalui laluan haram di sempadan Thailand-Bukit Bunga, Tanah Merah.

“Mereka kemudian dihantar ke ibu negara menggunakan beberapa syarikat bas ekspres berbeza pada waktu malam bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Sindiket yang dipercayai dikendalikan dalang dari Indonesia ini menggunakan rangkaian ejen berasingan di Hat Yai dengan peranan khusus termasuk mengurus ketibaan, menyediakan rumah transit serta memalsukan cap pasport,” ujarnya.

Zakaria menjelaskan, kesemua migran berusia antara 27 hingga 60 tahun itu dipercayai membayar antara RM3,500 hingga RM4,000 seorang untuk memasuki Malaysia secara tidak sah.

Beliau menegaskan, pihknya turut mengesan kemungkinan penglibatan warga tempatan dalam membantu sindiket termasuk pembelian tiket bas dan penyelarasan logistik.

Usaha mengesan individu terlibat sedang giat dijalankan.

Seorang lelaki yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ yang mengurus logistik pergerakan migran di sekitar ibu negara ditahan oleh pasukan operasi.

Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi membantu siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Zakaria berkata, pihaknya komited membanteras aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan dan tidak bersekongkol dengan sindiket, sambil menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Selagi hukuman sebat tidak dikuatkuasa sepertimana Singapura..keatas pendatang haram dan transporter selagi itulah mereka berani melanggar undang-undang negara Malaysia

Comments are closed.