Ubat suntikan berlabel Tirzide yang disyakı tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM.

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM2.34 juta dalam satu pemeriksaan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi semalam.

AKPS dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi, seorang penumpang lelaki warganegara asing yang tiba dengan sebuah pesawat dari Bangladesh ditahan selepas pemeriksaan ke atas bagasinya menemukan sejumlah besar ubat suntikan.

“Hasil pemeriksaan lanjut bersama Pegawai Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati bagasi tersebut mengandungi sebanyak 3,300 unit ubat suntikan berlabel Tirzide yang disyakı tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM,” katanya hari ini.

AKPS berkata, ubatan tersebut dipercayai mengandungi bahan aktif Tirzepatide, iaitu sejenis racun terkawal yang digunakan bagi rawatan diabetes dan obesiti serta disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Akta Racun 1952.

Katanya, semua ubat-ubatan yang dirampas ditahan untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.

“Rampasan ini dibuat menurut peruntukan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 kerana mengimport produk tidak berdaftar, serta Seksyen 8(1) Akta Racun 1952 kerana mengimport racun tanpa lesen yang sah,” tambahnya.

AKPS berkata, jika disabit kesalahan lelaki itu berdepan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, serta denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast