KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan tahniah kepada UMNO Negeri Sembilan atas langkah awal yang disifatkan sebagai usaha penyatuan bagi menolak Pakatan Harapan (PH).
Beliau menerusi hantaran di platform Facebook menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu isyarat penting dalam landskap politik semasa, khususnya menjelang pilihan raya akan datang.
“Tahniah UMNO Negeri Sembilan memulakan langkah penyatuan tolak PH!” katanya ringkas dalam kenyataan tersebut.
Menurut beliau, langkah berkenaan berpotensi membuka ruang kerjasama lebih luas dalam kalangan parti-parti yang tidak sehaluan dengan PH.
Perkongsian itu turut mengundang perhatian ramai apabila dilihat mencerminkan pendirian Pas yang konsisten dalam usaha menyatukan kekuatan pembangkang bagi berdepan gabungan kerajaan sedia ada.
Awal hari ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan kesemua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.
Katanya, makluman rasmi mengenai keputusan itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, hari ini.
Malah, Perikatan Nasional (PN) negeri itu hari ini turut mengumumkan kesediaan untuk bekerjasama dengan BN apabila kelima-lima ADUN gabungan tersebut membuat pendirian itu dalam sidang media di Seremban sebentar tadi. – MalaysiaGazette
















