KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam percakapan pentadbir akaun Facebook HuaYan The Pureland Learning Centre, hari ini untuk membantu siasatan memuat naik kandungan jelik melampau berunsur 3R terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Katanya, MCMC menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 233, Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Manakala pihak PDRM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Seksyen 504 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman denda atau dipenjarakan selama tempoh dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tegasnya, MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau terhadap Institusi Diraja kerana boleh menjejaskan keyakinan awam serta keharmonian dan ketenteraman masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk menggunakan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab, serta bahawa sebarang kandungan jelik, hasutan atau fitnah—khususnya melibatkan Institusi Diraja akan dikenakan tindakan tegas menurut undang-undang. -MalaysiaGazette
















