GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu banjir berterusan di negeri itu sebagai peringatan penting yang perlu diambil serius oleh semua kerajaan negeri di seluruh negara.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, masalah banjir kini bukan lagi isu bermusim kerana ia semakin kerap berlaku dan memberi kesan besar kepada rakyat termasuk kerosakan harta benda, gangguan ekonomi serta peningkatan kos sara hidup.
“Walaupun pelbagai peruntukan dan pelan tebatan banjir diumumkan, pelaksanaan di lapangan masih belum mencapai tahap yang diharapkan.
“Pengurusan banjir tidak boleh lagi bersifat reaktif. Ia memerlukan perancangan jangka panjang, tadbir urus cekap serta pendekatan berasaskan sains.
“Semua kerajaan negeri perlu mengutamakan strategi pengurusan banjir bersepadu termasuk peningkatan infrastruktur, pengurusan lembangan sungai dan perancangan guna tanah yang lebih teratur,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, CAP turut menekankan kepentingan memulihkan kawasan dataran banjir serta memastikan rizab sungai dipelihara bagi mengurangkan risiko limpahan air.
Selain itu, beliau menggesa ketelusan dalam penggunaan dana tebatan banjir, selain memperkukuh penyelarasan antara kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Negara memerlukan penggunaan teknologi moden serta penglibatan komuniti dalam kesiapsiagaan bencana.
“Malah, isu seperti penebangan hutan, pemotongan bukit dan pembangunan tidak terkawal perlu ditangani kerana turut menyumbang kepada peningkatan risiko banjir.
“Kita harap setiap negeri melihat perkara ini sebagai peringatan bahawa kos tidak bertindak jauh lebih besar daripada pelaburan untuk penyelesaian berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette
















