KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan susulan penarikan sokongan 14 Ahli Dewan Undangan (ADUN) BN terhadap Menteri Besar, Datuk Aminuddin Harun.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pertemuan itu akan diadakan pada masa terdekat bagi membincangkan implikasi situasi di Negeri Sembilan terhadap kerjasama politik nasional.
“Saya akan jumpa perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya ringkas kepada media Ketika ditemui di World Trade Centre, Kuala Lumpur hari ini.
Pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha UMNO-BN untuk meredakan ketegangan yang dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati berkaitan isu institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri.
Beliau turut menggambarkan sebarang penyelesaian yang akan diambil adalah bergantung sepenuhnya kepada penilaian situasi politik semasa di negeri berkenaan bagi mengelakkan sebarang ruang manipulasi oleh pihak lawan.
Sementara itu, Ahmad Zahid juga sedang menantikan kehadiran 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (ADUN) UMNO untuk mendengar dan berbincang demi memastikan kestabilan politik terus terjamin.
”Saya mempunyai waktu yang sangat terbuka untuk mereka dan mereka boleh datang bertemu dengan saya bila-bila masa pada hari ini atau selepas ini,” katanya lagi.
Ketika ditanya apakah keputusan UMNO Negeri Sembilan telah membelakangkan parti, Ahmad Zahid berkata, ia di bawah pengetahuannya.
“Kita mengetahui tentang apa yang mereka telah rancangkan dan apa yang telah mereka umumkan, tetapi sistem yang ada kepada UMNO ialah kita lazimnya menghormati dan juga menyantuni keputusan daripada perhubungan Negeri berkenaan atau ADUN-ADUN daripada negeri berkenaan.
“Perkara ini akan dirujuk dan kita akan memutuskan apabila perkara ini dibawa ke Biro Politik dan Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias Bersama 14 ADUN UMNO daripada Barisan Nasional mengumumkan menarik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara susulan krisis yang disifatkan boleh menjejaskan pentadbiran negeri.
Krisis yang berlaku itu dilihat bakal menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam terhadap kestabilan serta kesejahteraan rakyat. -MalaysiaGazette
















