Foto media sosial.

SEREMBAN – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri yang kini berdepan krisis kepimpinan.

Perkara itu diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dalam sidang media khas sebentar tadi di sini.

Menurutnya, krisis berkenaan telah menjejaskan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri sehingga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan tanpa tarikh baharu.

“Kami mewakili rakyat Negeri Sembilan berasa kesal kerana krisis ini terus berpanjangan dan memberi kesan kepada pentadbiran negeri,” katanya.

Tambahnya, situasi menjadi semakin serius apabila 14 ADUN BN negeri ini sebulat suara menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Perkembangan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk penyelesaian segera dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan lima ADUN PN komited untuk meletakkan kepentingan negeri sebagai keutamaan dan bersedia bekerjasama dengan blok BN.

“Kami bersedia bekerjasama dengan 14 ADUN BN bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri dan kelangsungan pentadbiran dapat dipertahankan,” ujarnya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan pembangunan negeri tidak terjejas serta kebajikan rakyat terus terpelihara.

Pagi tadi, seramai 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap Aminuddin yang juga ADUN PKR Sikamat.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan dibuat secara sebulat suara membabitkan kesemua 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.

Katanya, makluman rasmi mengenai keputusan itu akan dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast