Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra bersama veteran-veteran ATM yang hadir pada Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-Persatuan Veteran ATM di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi. Foto SADIQ SANI, 27 APRIL 2026.

BANGI – Kerajaan tidak lagi mahu melihat bekas anggota tentera `terkapai-kapai’ selepas bersara apabila Kementerian Pertahanan (MINDEF) menetapkan sasaran baharu yang lebih agresif dengan sekurang-kurangnya 50 peratus veteran mesti mendapat pekerjaan dengan pendapatan bermaruah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan pendekatan lama yang menyaksikan hanya 20 hingga 30 peratus peserta latihan peralihan memperoleh pekerjaan tidak lagi boleh diteruskan.

“(Dulu) setiap kali selepas latihan (peralihan) hanya 20 hingga 30 peratus yang dapat kerja. Kita sasarkan jika ada 5,000 setahun anggota-anggota yang perlu melalui peralihan untuk berpencen.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada mereka memperoleh pekerjaan dalam industri dan syarikat dengan pendapatan bermaruah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pertama Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan-persatuan Veteran ATM, di sini hari ini.

Menurut beliau, MINDEF melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) kini mengubah strategi dengan memberi tumpuan kepada latihan berasaskan industri yang menepati kehendak pasaran kerja semasa.

Antara program utama yang digerakkan ialah PROWIRA Readiness-to-Work, Program Reskilling and Upskilling Veteran serta Program JanaVeteran bagi memastikan anggota yang bakal bersara tidak tercicir dalam dunia pekerjaan.

Dalam usaha memperkukuh persediaan awal, Mohamed Khaled berkata, kerajaan turut membiayai pengajian diploma kepada anggota yang masih berkhidmat sebelum mereka menamatkan perkhidmatan.

“Kerajaan membayar kos untuk mendapat diploma sekurang-kurangnya RM6,500 dan untuk tahun ini, kita sasarkan seramai 1,000 yang sedang berkhidmat mendapat diploma,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan juga akan menanggung kos latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) bagi meningkatkan kebolehpasaran veteran dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Dalam sidang media berasingan, beliau mendedahkan MINDEF turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Boustead Plantations Berhad untuk membuka peluang kerjaya dalam sektor pertanian.

“Jadi pelbagai usaha dan kemudian kita ada program-program pertanian yang akan kita lakukan bersama Boustead Plantation.

“Mana-mana veteran yang ada tanah mereka boleh menyertai program Boustead Plantation tanam cash crop, halia, lada sebagainya yang mana Boustead akan beli hasil-hasil itu, jadi usaha mereka tak sia-sia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast