Anak mangsa terpaksa menerima beberapa jahitan di dahi akibat insiden berkenaan.

GEORGE TOWN – Hasrat sebuah keluarga untuk menikmati pusingan santai menaiki kenderaan elektrik (EV) roda tiga yang disewa bertukar tragedi apabila kenderaan itu didakwa mengalami kegagalan sistem brek sebelum terbalik dalam kejadian di Persiaran Karpal Singh di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 petang itu, mangsa, Lim Yong Chien, 33, patah jari kelingking kanan serta luka di ibu jari kaki manakala isterinya, Loh Jo Yi mengalami kecederaan dalaman dan bengkak di seluruh kaki kanan.

Selain itu, anak perempuan bongsu mereka berusia tiga tahun pula, terpaksa menerima beberapa jahitan akibat luka di bahagian dahi.

Menceritakan kejadian itu, Yong Chien berkata, dia bersama isteri serta dua anak perempuannya menaiki EV berkenaan yang disewa pada kadar RM40 untuk 20 minit di kaki lima kawasan tersebut.

Katanya, ketika menunggang, dia cuba memperlahankan kenderaan namun mendakwa sistem brek tidak berfungsi, malah EV berkenaan didakwa terus bergerak laju sebelum hilang kawalan dan terbalik, menyebabkan kesemua mereka mengalami kecederaan.

“Saya cuba brek, tapi langsung tak berfungsi. Lepas itu kenderaan terus laju dan terbalik.

“Impak kejadian itu menyebabkan tiga daripada kami cedera, manakala anak sulung berusia enam tahun tidak cedera, namun trauma akibat kejadian tersebut.

“Susulan itu, kami dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dengan bantuan saudara-mara dan anak bongsu menerima beberapa jahitan di kepala, manakala isteri saya pula, diberikan cuti sakit (MC) selama tiga hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut Yong Chien mendakwa, pengendali sewaan EV berkenaan bukan sahaja gagal menghubungi ambulans, malah didakwa menyalahkan dia dan isterinya atas kejadian tersebut.

“Saya sudah maklumkan brek tidak berfungsi, tapi mereka marah dan kata kami tak jaga anak dengan baik.

“Bukan saja itu, semakan daripada penduduk setempat turut mendakwa pengusaha terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan pernah diberi amaran oleh pihak berkuasa.

“Susulan itu, saya membuat laporan polis bagi menuntut siasatan dan tindakan terhadap pengendali terbabit serta menuntut penjelasan dan pampasan,” katanya.

Tambahnya, laporan itu dibuat bagi memastikan insiden sama tidak berulang kepada orang lain kerana ia boleh membahayakan nyawa sekiranya melibatkan kecederaan lebih serius, selain mendesak tindakan terhadap pengusaha tidak berlesen.

“Brek sepatutnya jadi sistem keselamatan, tapi ini jadi punca bahaya. Saya harap pihak berkuasa ambil tindakan tegas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast