SHAH ALAM – Beberapa Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang mewakili beberapa parti politik hari ini membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook yang disyaki menghina institusi diraja serta berpotensi menggugat keharmonian awam.
Laporan itu dibuat oleh Mohd Firdaus Mokhtar (Amanah), Tengku Ahmad Tengku Kassim (PKR) dan Muhammad Shakir (DAP) di Balai Polis Seksyen 6 di sini susulan penularan imej yang memaparkan wajah menyerupai babi berpakaian seperti pakaian diraja, disertai kenyataan melampau.
Menurut mereka, kandungan berkenaan bukan sahaja biadab, malah boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama jika tidak ditangani segera.
“Kami memandang serius sebarang bentuk penghinaan terhadap institusi diraja yang menjadi tonggak Perlembagaan negara. Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan kebencian atau provokasi melampau,” menurut kenyataan bersama itu.
Sehubungan itu, mereka menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
Menurut mereka, beberapa peruntukan undang-undang boleh digunakan termasuk Seksyen 505 dan 298A Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketiga-tiga mereka turut mengingatkan bahawa semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial bagi memastikan sensitiviti agama, kaum dan institusi negara terus terpelihara.
“Masyarakat tidak boleh membiarkan budaya penghinaan dan provokasi melampau ini menjadi normal kerana ia boleh menjejaskan keamanan serta perpaduan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















