KUALA LUMPUR – Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) melancarkan pelancaran Cradle Elevate, sebuah program pembiayaan baharu bernilai RM10 juta serta Cradle Startup Accelerator Programme 2026.
Cradle adalah agensi fokal pembangunan ekosistem startup Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
Kedua-dua inisiatif ini merupakan usaha nasional bersepadu bagi memperkukuhkan saluran pembangunan startup, meningkatkan keterhubungan ekosistem serta memperluas akses kepada sokongan melalui platform Tetingkap Tunggal MYStartup, selaras dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 dan Pelan Tindakan KL20.
Melalui Cradle Elevate, Cradle menyasarkan untuk merapatkan jurang ini melalui pelaburan ekuiti kepada startup peringkat Pra-A hingga Siri-A.
Dengan saiz pelaburan antara RM500,000 hingga RM2 juta bersama rakan pelabur, program ini memperkukuhkan asas perniagaan, meningkatkan kesiapsiagaan pelabur serta
mempercepatkan akses startup kepada pembiayaan susulan dan pengembangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata, Malaysia mempunyai aliran startup yang kukuh dengan penyelesaian yang telah disahkan serta daya tarikan pasaran awal.
Namun, cabaran utama adalah merapatkan jurang daripada pertumbuhan awal kepada skala.
Cradle Elevate direka untuk menangani perkara ini dengan memperkukuhkan kesiapsiagaan pelabur serta menyokong startup untuk berkembang dengan lebih yakin.
Menurut beliau, Cradle sedang menangani jurang kritikal dalam lanskap pembiayaan peringkat awal di Malaysia iaitu “missing middle”, kumpulan startup yang telah mengesahkan penyelesaian mereka tetapi belum bersedia untuk pusingan pembiayaan swasta yang lebih besar.
Pada peringkat ini, syarikat sering berdepan kesukaran untuk mendapatkan modal pertumbuhan serta membuka peluang pasaran dan intervensi Cradle membantu merapatkan jurang ini di samping menggalakkan penyertaan lebih besar daripada modal teroka (VC) melalui pengurangan risiko pelaburan peringkat awal serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Sementara itu, Menteri MOSTI, Datuk Chang Lih Kang berkata, Malaysia sedang membangunkan ekosistem startup yang lebih kukuh dengan fokus jelas terhadap kualiti, kebolehskalaan dan impak ekonomi sebenar.
“Pelancaran ini bagi memastikan pengasas startup Malaysia berada dalam kedudukan lebih baik untuk membina syarikat mereka, mendapatkan pembiayaan, mengembangkan perniagaan, menembusi pasaran antarabangsa serta mencapai strategi keluar ‘exit’ yang bermakna, selaras dengan visi kita untuk meletakkan Malaysia antara ekosistem startup terunggul dunia menjelang 2030,” katanya pada majlis pelancaran ketika Cradle LIVE! Roadshow Perak 2026 di Ipoh hari ini.
Melengkapi program pembiayaan baharu ini, ia turut menandakan pelaksanaan beberapa inisiatif utama di bawah Cradle Startup Accelerator Programme 2026, satu pendekatan berstruktur di peringkat nasional bagi menyokong ekosistem di semua peringkat pertumbuhan.
Inisiatif ini merangkumi program seperti Bootcamp, Pre-Accelerator, Accelerator dan ReInnovate, yang direka untuk mengesahkan idea secara menyeluruh, memperkukuhkan asas serta memperjelas laluan setiap startup ke arah skala. – MalaysiaGazette
















