Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot hadir merasmikan Majlis Road to WorldSkills Malaysia Belia Training Camp di Meru, Klang hari ini.

KLANG – Pembangunan hab latihan bagi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menunjukkan momentum positif sekali gus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh persediaan peserta WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2026.

Hab latihan berteknologi tinggi di Meru, Klang dalam bidang penyelenggaraan untuk industri pembuatan moden berfungsi sebagai pusat sehenti, yang memperlihatkan sinergi kukuh antara kerajaan, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berucap pada Majlis Road to WorldSkills Malaysia Belia Training Camp di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, hab tersebut akan menghimpunkan Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA), pemain industri serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyediakan latihan berasaskan situasi sebenar.

“Kita mengambil inisiatif menjadi platform penghubung antara kerajaan dan pemain industri atau pakar supaya dapat bergabung di bawah satu bumbung, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam TVET selaras Revolusi Industri 4.0.

“Tempat ini juga berfungsi sebagai platform praktikal sebelum bermulanya pertandingan WorldSkills Belia 2026 pada hujung Jun ini. Semua peserta akan menjalani latihan bukan sekadar teori tetapi secara praktikal bersama tenaga pakar daripada industri dan kerajaan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot hadir merasmikan Majlis Road to WorldSkills Malaysia Belia Training Camp di sini hari ini.

Program berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Yayasan Prihatin Nasional dan Advance Retro Solution Sdn Bhd (ARS).

Pengarah Bahagian Promosi JPK, Moslinda Abd Rahman ditemui selepas Majlis Road to WorldSkills Malaysia Belia Training Camp di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Promosi JPK, Moslinda Abd Rahman berkata, ARS merupakan rakan strategik yang menyediakan hab latihan dalam bidang CNC Maintenance serta beberapa bidang lain kepada peserta WSMB.

“Kita mempunyai 12 pusat latihan lain, namun ARS mengambil inisiatif yang baik dengan menyediakan sesi bootcamp kepada peserta akhir sebelum mereka melangkah ke peringkat final pada Jun 2026.

“Kita memilih ARS kerana ia menyediakan fasiliti lengkap merangkumi kepakaran dan keperluan sebenar industri seperti bengkel automotif, skop pertandingan WSMB serta pendekatan latihan yang lebih berfokus kepada kemahiran penyelesaian masalah, diagnostik dan pemikiran sistematik,” jelasnya.

Mengulas persiapan WSMB 2026 di Shanghai, China pada September nanti, Moslinda berkata, pihaknya sedang melakukan persediaan rapi terhadap semua peserta yang terlibat dalam 22 bidang yang akan dipertandingkan.

Pengarah Urusan ARS Sdn Bhd, Sdn Bhd, Datuk Peter Lai.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan ARS Sdn Bhd, Datuk Peter Lai berkata, program tersebut mencerminkan peranan penting pihak industri dalam menyokong ekosistem TVET negara, selain pihaknya kini menyediakan fasiliti kedua di Meru selepas Puchong.

“Hab latihan TVET ini merangkumi pelbagai teknologi berimpak tinggi seperti pembuatan pintar (Smart Manufacturing), automasi, Internet of Things (IoT), kenderaan elektrik (EV), serta sistem penyelenggaraan fasiliti termasuk lif dan eskalator.

“Ia juga berperanan menyediakan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) kepada tenaga kerja industri bagi memastikan mereka kekal relevan dalam persekitaran teknologi yang sentiasa berubah. Fasiliti ini turut diiktiraf sebagai Pusat Akademi oleh Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii),” katanya.— MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast