Zambry.

GEORGE TOWN – Kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan Turkiye terus diperkukuh apabila kedua-dua negara bersetuju menubuhkan sebuah institut khas yang dikenali sebagai Institut Malaysia-Turkiye.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-Turkiye yang diadakan di sini sebagai sebahagian daripada program tahunan kedua-dua negara.

Menurut beliau, institut berkenaan akan diwujudkan di dua lokasi iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Malaya, selain sebuah lagi institusi akan ditubuhkan di Turkiye.

“Universiti Malaya juga telah menandatangani persefahaman bagi merealisasikan penubuhan institut ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu hari ini.

“Antara hasil penting mesyuarat itu ialah kesediaan Turkiye menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di negara berkenaan.

“Dengan peluang biasiswa yang disediakan, kita menjangkakan lebih ramai pelajar Malaysia akan dihantar ke Turkiye pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kedua-dua negara turut bersetuju mengenal pasti universiti terbaik di Turkiye sebagai destinasi utama, khususnya dalam bidang strategik seperti aeroangkasa, teknologi, kejuruteraan dan pembangunan mampan.

“Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat termasuk lepasan Maktab Rendah Sains (MRSM) antara yang berpotensi untuk dihantar melanjutkan pengajian ke negara berkenaan.

“Ketika ini jumlah pelajar Malaysia di Turkiye hanya 207 namun usaha akan dipergiat bagi memperluaskan penyertaan dalam bidang kritikal,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye, Erol Ozvar berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran pelajar Malaysia dan menegaskan bahawa universiti di negara itu terbuka luas kepada mereka.

Beliau berkata pelajar Malaysia berpeluang mengikuti pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, perubatan, sains sosial dan penjagaan kesihatan di universiti-universiti di Turkiye.

“Bukan sahaja pintu universiti kami terbuka, malah hati kami juga terbuka kepada rakyat Malaysia. Tanpa interaksi dan mobiliti pelajar serta ahli akademik, sukar untuk kita mencapai kemajuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast