Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk tidak membiarkan pesawah terus ‘berperang’ sendirian dalam mendepani krisis bekalan air dan kenaikan kos operasi yang semakin menghimpit golongan itu ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, satu surat rasmi telah dihantar kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagi menuntut pembelaan segera terhadap nasib para pesawah, khususnya di Kedah.

Menurutnya, kerajaan tidak boleh lagi sekadar melihat isu ini sebagai rutin pentadbiran, sebaliknya perlu menyelami denyut nadi pesawah yang kini berdepan risiko kerugian berulang akibat ketidaktentuan musim dan dasar yang belum memihak kepada pengeluar tempatan.

“Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan adalah cadangan pelaksanaan kaedah Tabur Terus Kering (TTK) jika masalah air berlarutan.

“TTK bukan jalan mudah kerana ia menuntut kos penyediaan tanah, benih dan racun yang tinggi selain ancaman padi angin dan perosak.

“Jangan biarkan pesawah tanggung risiko ini sendirian,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan seharusnya menyediakan pembiayaan penuh merangkumi kos membajak hingga menuai jika mahu meneruskan TTK selain pemberian moratorium bayaran balik sehingga hasil tuaian benar-benar stabil.

Dalam pada itu, Mohd Ashraf berkata, selain isu teknikal penanaman, turut mendesak ketika ini adalah keperluan kerajaan menilai semula kebergantungan melampau kepada beras import yang menekan pasaran domestik.

“Kerajaan perlu menyekat atau mengehadkan AP import kerana ini dapat mengurangkan kemasukan beras luar untuk memperkasa pengeluaran tempatan.

“Selain itu, berkenaan kenaikan harga beras yang mana harga beras tempatan wajar dinilai semula ke paras RM40 hingga RM50 bagi setiap 10 kilogram (kg).

“Terakhir mengenai harga lantai padi, naikkanlah kepada kadar baharu antara RM2,500 hingga RM3,000 per tan,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut menggesa agar Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diwujudkan semula sebagai badan berkanun yang mampu berfungsi secara adil dalam mengawal selia industri serta menjaga stok strategik negara.

“Pesawah adalah benteng keterjaminan makanan negara.

“Jika kerajaan serius mahu memastikan nasi sampai ke pinggan rakyat, maka kerajaan wajib berkongsi risiko secara nyata, adil dan bertanggungjawab,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast