SHAH ALAM – Seramai 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang ditahan Febuari lalu kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 masih menjalankan tugas.
Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua anggota berkenaan direhatkan daripada daripada tugas-tugas aktif di lapangan.
“Semua polis masih menjalankan tugas, tidak ditahan kerja tetapi direhatkan daripada tugas-tugas aktif di lapangan dan dipantau selia oleh ketua-ketua cawangan mereka,” katanya ketika sidang media di IPK Selangor, hari ini.
Katanya, sehingga kini pihaknya masih menunggu laporan teknikal mengenai siasatan kes tersebut.
Terdahulu, pada Febuari lalu, 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China.
Mereka yang ditahan masing-masing seorang berpangkat asisten superintendan, inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.
Penahanan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang juruukur pasaran warga China berusia 31 tahun, yang mendakwa dia dan tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto bagi mendapatkan pembebasan selepas banglo yang disewa mereka di kawasan berpagar di Country Heights, Kajang diserbu polis.-MalaysiaGazette
















