PUTRAJAYA – Ekosistem sastera negara akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan inisiatif baharu termasuk Program Mentor-Mentee yang akan diselia secara langsung oleh Sasterawan Negara, sebagai usaha melahirkan lebih ramai penulis muda berkualiti.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata komitmen itu dilaksanakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan seluruh komuniti sastera.
“Program itu akan menjadi platform penting dalam membimbing bakat muda secara lebih tersusun sejak peringkat awal, sekali gus memastikan kelangsungan dan kegemilangan sastera Melayu terus terpelihara.
“Melalui ekosistem yang lebih tersusun ini, kita mahu melahirkan lebih ramai pengarang muda yang dipupuk sejak awal dengan bimbingan terus daripada Sasterawan Negara,” katanya ketika Sidang Media Anugerah Sastera Negara Ke-16 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penganugerahan Sasterawan Negara merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada tokoh sastera yang bukan sahaja memiliki karya unggul, malah memainkan peranan besar dalam masyarakat.
“Tokoh Sasterawan Negara bukan tokoh biasa. Mereka ini mempunyai karya yang luar biasa serta memberi sumbangan besar dalam mengangkat isu masyarakat, ekonomi, pendidikan dan pelbagai aspek kehidupan.
“Sasterawan negara dikenali melalui ketajaman karya mereka yang mencerminkan realiti sosial masyarakat.
“Mereka berperanan sebagai pemerhati sosial yang dekat dengan masyarakat,” jelasnya.
Menurut Fadhlina, berkata Program Mentor-Mentee dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan bakat sastera muda dapat diasah secara berterusan dengan bimbingan Sasterawan Negara.
Jelasnya, karya-karya Sasterawan Negara juga perlu terus diperluas penggunaannya dalam masyarakat termasuk di sekolah dan institusi pendidikan bagi memastikan ia kekal hidup.
“Yang paling penting adalah karya mereka yang mesti terus hidup dalam masyarakat ini.
“Jadi sebab itu program ini kita lihat sebagai landasan yang sangat penting iaitu komitmen kerajaan yang menyediakan ekosistem itu dan dipandu bersama pedoman oleh sasterawan-sasterawan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















