SHAH ALAM – Lelaki yang ditahan susulan bantahan pelaksanaan solat Jumaat dan azan di sebuah Surau Taman Seraya, Ampang baru-baru ini bertindak secara individu dan tidak dipengaruh oleh pihak luar.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati antara ketidakpuasan hati lelaki berusia 46 tahun itu adalah kesesakan lalu lintas akibat solat Jumaat.
“Namun polis masih meneruskan soal siasat, bagi menentukan sekiranya wujud elemen-elemen lain kerana kita menjalankan siasatan di pelbagai aspek dan sudut,” katanya ketika sidang media di IPK Selangor, hari ini.
Menurutnya, suspek sehingga kini masih direman untuk siasatan lanjut.
Semalam, Shazeli mengesahkan penahanan seorang lelaki tempatan berhubung kes ingkar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkait pelaksanaan solat Jumaat dan azan di sebuah Surau Taman Seraya, Ampang yang tular di media sosial baru-baru ini.
Lelaki itu ditahan kawasan Pandan Indah kira-kira jam 3 petang, pada Ahad lalu.
Beliau mengesahkan suspek tidak bekerja dan bermastautin di kawasan tersebut untuk satu tempoh yang munasabah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebagai rekod, jawatankuasa sebuah surau di Ampang pada Jumaat lalu membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah susulan dakwaan terdapat pihak membuat bantahan terhadap pengurusan surau berkenaan membabitkan azan, solat berjemaah serta penggunaan ruang luar surau.
Antara perkara yang menimbulkan ketegangan termasuk dakwaan laungan azan mengganggu mereka selain meminta supaya solat berjemaah dihentikan.
Dalam pada itu, Shazeli menasihatkan masyarakat pelbagai kaum yang hidup bersama di negeri dan negara ini supaya sentiasa mengamalkan toleransi antara satu sama lain.
Jelasnya, sebarang ketidakpuasan hati perlu disuarakan menerusi saluran yang betul agar tidak mencetuskan kekecohan atau dilihat sebagai provokasi.
“Sikap kesabaran dan toleransi yang tinggi perlu diamalkan. Kita juga perlu mengawal percakapan dan tingkah laku, sekiranya percakapan difikirkan boleh mendatangkan kemudaratan adalah lebih baik kita mendiamkan diri atau laksanakan (suarakan) dalam suatu medium yang tertutup kerana jika diluahkan dalam medium terbuka akan timbulkan implikasi dari aspek sosial,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak polis tidak akan berkompromi dengan pihak dan individu yang didapati mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam khususnya melibatkan isu agama, kaum dan raja (3R). – MalaysiaGazette
















