Pegawai JIM melakukan serbuan dan menahan pekerja warga asing di sebuah hab pembungkusan sayur di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Tindakan majikan menggajikan pekerja asing tanpa permit bagi menjimatkan kos operasi membawa padah apabila sebuah hab pembungkusan sayur di sini diserbu semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan menerusi Ops Mahir itu bermula pukul 10 pagi.

“Serbuan berkenaan adalah hasil pemantauan intensif selama beberapa minggu berkaitan kegiatan majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos penggajian yang lebih tinggi.

“Operasi ini memberi tumpuan ke atas sebuah tempat pembungkusan sayur yang mengambil pekerja warga asing tanpa kebenaran dan gagal mengemukakan dokumen sah serta melanggar peruntukan dibawah Akta Imigresen 1959/63.

“Turut ditahan seorang warga tempatan yang merupakan  pengurus premis kerana melindungi warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil serbuan, seramai 38 warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan untuk tujuan bekerja.

Menurutnya, mereka terdiri daripada 27 lelaki dewasa Indonesia, seorang lelaki dewasa China dan 10 wanita dewasa Indonesia berusia lingkungan 18 hingga 54 tahun.

Katanya, kesemua individu yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

Tambahnya, sekeping borang 29 iaitu saman kepada saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

“JIM Johor memandang serius isu salah guna pas dan kemudahan yang diberikan kepada warga asing dan akan terus aktif memerangi serta membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan pemilik premis serta individu-individu yang membenarkan imigran haram tinggal di mana-mana premis serta melindungi PATI,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast