Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah mengecam cadangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya wakil UMNO dalam Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail dipecat susulan krisis politik di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, cadangan itu bukan sahaja dangkal, malah memperlihatkan keangkuhan politik yang melampau serta kegagalan memahami asas persefahaman antara parti-parti dalam kerajaan.

Tegasnya, UMNO bukan parti picisan yang boleh diperlakukan sesuka hati.

“Kenyataan sebegini bukan sahaja mencetuskan ketegangan, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk provokasi terbuka terhadap rakan dalam kerajaan.

“Jika inilah tahap pemikiran kepimpinan tertentu dalam PKR Selangor, maka tidak hairanlah kenyataan seperti ini lahir tanpa mengambil kira implikasi terhadap kestabilan politik negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memecat Rizam sebagai Exco.

Katanya, ia selepas tindakan UMNO-BN di Negeri Sembilan yang mencetuskan rasa kurang senang dan kebimbangan dalam kalangan akar umbi PKR.

Rizam yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar merupakan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan & Pengguna.

Sementara itu, Armand Azha turut menggesa kepimpinan PKR mengambilt tindakan terhadap Sathia susulan kenyataan tersebut.

Menurutnya, kegagalan berbuat demikian hanya akan mengesahkan bahawa kenyataan tersebut mencerminkan pendirian sebenar parti itu.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kesabaran ada batasnya. UMNO Selangor tidak akan berdiam diri sekiranya terus diprovokasi atau dipandang rendah dalam kerjasama ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mendesak agar satu pertemuan rasmi diadakan segera di peringkat kepimpinan tertinggi kerajaan negeri bagi memperjelaskan pendirian dan memastikan kestabilan politik Selangor tidak terus diganggu oleh kenyataan-kenyataan tidak matang seperti itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast