KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mengumumkan lanjutan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 sehingga 31 Disember 2027 bagi memperluas peluang menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat mengambil kira perkembangan semasa global serta keperluan memperkukuh momentum promosi pelancongan negara.
“Tempoh kempen ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027 bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelancong untuk meneroka keindahan Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Misi Galakan Pelancongan Malaysia ke Indonesia malam tadi.

Menurutnya, penganjuran misi berkenaan menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama rakan industri pelancongan di Indonesia, khususnya dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan.
“Kehadiran rakan industri dari Indonesia mencerminkan semangat persahabatan serantau yang kukuh serta hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara,” tambahnya.
King Sing berkata, Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun berkongsi persamaan budaya, bahasa dan nilai kehidupan yang menjadi asas hubungan erat antara kedua-dua negara.
“Kepelbagaian dalam persamaan inilah yang menjadikan hubungan Malaysia dan Indonesia semakin bermakna dari tahun ke tahun,” ujarnya.
Beliau berkata, delegasi Malaysia dalam misi tersebut melibatkan kira-kira 50 organisasi daripada pelbagai sektor.
Ini termasuk lembaga pelancongan negeri, agensi pelancongan, hospital, syarikat penerbangan, hotel dan resort, ejen Malaysia My Second Home (MM2H) serta pengendali produk pelancongan.
Katanya, penyertaan meluas itu mencerminkan kesungguhan Malaysia dalam memperluas peluang kerjasama industri pelancongan dengan Indonesia.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput rakan industri dan pelancong dari Indonesia menghadiri program Malaysia Food and Cultural Promotion yang berlangsung dari 26 April hingga 2 Mei 2026 di Hotel Le Méridien Jakarta.
Selain itu, beliau turut menggalakkan rakyat Indonesia untuk berkunjung ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan sambutan Hari Pekerja Sedunia dan Water Musical Festival yang dijadual berlangsung hujung minggu ini di Jalan Bukit Bintang.
“Ini antara tarikan pelancongan yang meriah dan menarik di Malaysia dan saya percaya pengalaman tersebut tidak akan mengecewakan,” katanya.
Beliau menambah, Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan dengan Indonesia melalui pelancongan, budaya dan kerjasama industri yang lebih erat. – MalaysiaGazette
















