KUALA LUMPUR – KOTA BACA 2026 melabuhkan tirai dengan pelaksanaan sebuah acara literasi berskala nasional yang memberikan penekanan terhadap usaha membawa buku dan budaya membaca lebih dekat kepada masyarakat melalui pendekatan terbuka di ruang awam.
Dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Perbadanan Kota Buku (PKB) bersempena Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia dari 23 hingga 26 April 2026, acara ini dilaksanakan secara hibrid merangkumi pengisian dalam talian dan fizikal dengan tumpuan utama di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sepanjang tempoh penganjuran, pelbagai aktiviti literasi, komuniti, dan budaya telah dilaksanakan dengan penyertaan kementerian, agensi, industri buku, penulis serta masyarakat umum.
Pelaksanaan di Dataran Merdeka memperlihatkan satu pendekatan yang berbeza, iaitu membawa buku keluar daripada ruang institusi kepada ruang awam yang lebih terbuka dan simbolik.

Pendekatan ini menumpukan kepada keterlihatan, kebolehcapaian, dan pengalaman bersama, dengan harapan dapat memperkenalkan pembacaan kepada khalayak yang lebih luas, termasuk mereka yang tidak secara aktif terlibat dengan budaya membaca sebelum ini.
Sepanjang acara berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti utama seperti Kelah Buku yang berlangsung sepanjang tiga hari, jualan buku di reruai serta platform dalam talian melalui Book Capital dan TikTok Shop, BUKABUKU oleh Keretapi Sarong, Acara Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara, Larian Karakter Buku 5KM, serta inisiatif Pasport Kota Baca yang menggalakkan interaksi pengunjung di setiap reruai.
Pengisian sastera dan budaya turut menjadi antara tarikan acara melalui persembahan teater “Memperkasa Budaya Membaca” oleh Sekolah Seni Malaysia, Malam Baca Puisi PENA “Gemuruh Puisi”, Pertandingan Bercerita Karya Agung, serta sesi temu dan mesra bersama penulis dan Sasterawan Negara.
Acara ini juga menampilkan sesi bersajak bersama artis popular Aisha Retno yang memperluas penglibatan golongan muda.
Dalam masa yang sama, pelbagai acara literasi dan intelektual diketengahkan termasuk Audio Siar Telaah Buku di Perpustakaan Kuala Lumpur, bual bicara berkaitan kecerdasan buatan (AI) di Hentian Pintar AI, Khutbah Jumaat “Amanah Dijaga, Izzah Ummah Terpelihara” di beberapa masjid utama serta aktiviti bahasa seperti eksplorasi pantun dan Semarak Jawi.
Paparan aktiviti #MalaysiaMembaca oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara turut memberikan dimensi global kepada usaha pembudayaan membaca.

Bagi pengunjung keluarga dan komuniti, pelbagai aktiviti santai turut disediakan seperti sesi bersama Mrs. Baca Malaysia, Didi & Friends, rakaman polaroid “Bingkai Harapan Dunia”, Kafe Kopi dan Buku serta trak makanan sepanjang acara berlangsung, menjadikan suasana lebih terbuka dan mesra kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Penganjuran KOTA BACA 2026 turut diperkukuh melalui kerjasama rentas sektor yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Luar Negeri, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia.
Acara ini turut disokong oleh agensi-agensi KPM seperti Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
Selain itu, penglibatan persatuan industri seperti Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), Persatuan Industri Buku Malaysia (PIBM), Persatuan Penerbit dan Pengedar Buku Bumiputera Malaysia (PPPMM), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), dan Persatuan BookTube Malaysia.
Sokongan rakan strategik seperti TikTok Shop, Pos Malaysia, dan Delyva turut membantu memperluas capaian program kepada masyarakat.
KOTA BACA 2026 melabuhkan tirai dengan pencapaian yang membanggakan apabila PKB menerima pengiktirafan ASEAN Records dan Asia Records bagi kategori “Largest Book Swapping Event Organised under a National Reading Initiative” menerusi Acara Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara, dengan penyertaan sebanyak 2,890 peserta di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Namun, kejayaan KOTA BACA 2026 dilihat bukan semata-mata pada angka penyertaan atau pengiktirafan yang diterima, tetapi pada sifatnya sebagai satu intervensi awal dalam memperkenalkan buku kepada masyarakat melalui pengalaman yang lebih terbuka.
Acara ini memperlihatkan bagaimana pembacaan boleh dipersembahkan sebagai aktiviti sosial dan budaya yang inklusif, daripada sesi bacaan pelajar, aktiviti keluarga hingga perbincangan tentang teknologi dan masa hadapan ilmu.
Pendekatan ini menunjukkan bahawa potensi pembaca masa hadapan bukan sahaja terhad kepada mereka yang telah mempunyai tabiat membaca, malah termasuk juga dalam kalangan mereka yang mula “menemui” buku dalam konteks yang lebih santai dan dekat dengan kehidupan harian.

Sehubungan itu, KOTA BACA 2026 wajar dilihat sebagai langkah awal yang membuka pendekatan baharu dalam mendekatkan budaya membaca kepada masyarakat.
Namun, impak sebenar program ini akan bergantung kepada kesinambungan usaha selepas ini, termasuk pengukuhan dasar, peluasan akses kepada bahan bacaan serta pelaksanaan intervensi berterusan agar pembudayaan membaca dapat berkembang secara konsisten dan mampan di seluruh negara.
Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
Perbadanan Kota Buku
















