KUALA LUMPUR – Pasaran minyak sedang menyerap kejutan struktur susulan keputusan Emiriah Arab Bersatu untuk keluar daripada keanggotaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) selepas enam dekad.
Ketua Pegawai Eksekutif deVere Group, Nigel Green berkata, langkah itu dilihat menggugat kesepaduan OPEC yang sudah lama menjadi penentu bekalan dan harga global.
Harga minyak meningkat sedikit susulan laporan itu, namun tidak melonjak tinggi, dengan Brent crude didagangkan sekitar AS$111 setong selepas hampir mencecah AS$120 berikutan ketegangan melibatkan Iran serta risiko gangguan di Selat Hormuz.
Beliau berkata, satu tonggak utama kestabilan pasaran minyak telah terjejas akibat langkah mengejut UAE.
“UAE bukan pemain kecil. Ia antara segelintir pengeluar yang mempunyai kapasiti lebihan signifikan serta fleksibiliti operasi untuk meningkatkan pengeluaran dengan cepat, yang selama ini penting dalam cara OPEC mengurus bekalan dan mempengaruhi harga.
“Tindakannya berkemungkinan mewujudkan prospek bekalan berpecah ketika pasaran sudah pun tertekan akibat konflik AS-Iran dan laluan perkapalan yang terhad,” katanya.
Disebabkan itu, harga minyak meningkat, tetapi reaksi setakat ini agak terkawal kerana tiada kehilangan bekalan serta-merta, jadi pergerakan ini lebih mencerminkan harga ketidakpastian berbanding kejutan bekalan sebenar.
“Risiko gangguan jangka pendek menolak harga naik, namun prospek penyelarasan pengeluar yang semakin lemah mengehadkan kenaikan itu,” kata beliau dalam analisisnya.
Green meramalkan, risiko konflik kekal dominan dalam jangka pendek dan sebarang sekatan berterusan di Selat Hormuz akan menyokong harga minyak mentah, dan paras sekitar AS$120 masih “sangat berkemungkinan” jika ketegangan meningkat atau aliran perkapalan terus terganggu.
“Fokus kini beralih kepada implikasi struktur terhadap pengaruh OPEC. Kuasa penetapan harga kumpulan ini selama ini bergantung kepada beberapa ahli yang mempunyai kapasiti lebihan dan bertindak secara terkoordinasi, khususnya Arab Saudi dan UAE.
“Namun, perbezaan hala tuju antara pengeluar ini pasti akan melemahkan model tersebut,” ujarnya.
Tetapi, dalam jangka sederhana, keseimbangan berubah dan OPEC yang kurang padu dijangka mengurangkan kredibiliti had pengeluaran dan panduan masa depan.
“UAE mempunyai insentif ekonomi serta keupayaan teknikal untuk meningkatkan pengeluaran secara bebas, terutama ketika pengeluar mahu memaksimumkan hasil dalam tempoh permintaan masih kukuh,” ujarnya.
Penggunaan minyak global kekal hampir paras rekod melebihi 102 juta tong sehari, didorong permintaan dari ekonomi utama Asia serta pemulihan berterusan sektor penerbangan.
Pertumbuhan bekalan di luar OPEC pula tidak konsisten, menjadikan pasaran terdedah kepada perpecahan dalaman dalam kalangan pengeksport.
“Tambahan bekalan UAE dalam tempoh 12 hingga 24 bulan dijangka mula mengubah dinamik harga.
“Jika ketegangan geopolitik stabil, harga minyak boleh kembali ke julat AS$80 hingga AS$95 apabila bekalan tambahan memasuki pasaran.
“Namun, turun naik harga akan kekal kerana risiko kekurangan penyelarasan tidak hilang. Bahkan dimensi geopolitik turut melangkaui pasaran tenaga,” katanya.
Kata Green, penjajaran semula UAE berlaku seiring pengukuhan hubungan kewangan dengan Amerika Syarikat kerana Donald Trump sebelum ini berulang kali mengkritik peranan OPEC dalam mengekalkan harga minyak tinggi, dan perbincangan mengenai sokongan mata wang antara pihak berkuasa AS dan UAE menunjukkan penjajaran strategik yang lebih ketara.
“Hubungan lebih erat antara UAE dan AS menambah dimensi pengaruh baharu,” kata Green.
“Strategi tenaga, sokongan kecairan dan kestabilan mata wang kini saling berkait. Apabila pengeluar utama bertindak di luar kekangan kartel sambil mengukuhkan hubungan dua hala dengan Washington, ia mengubah cara pasaran global mentafsir isyarat bekalan,” ujarnya.
Dalam jangka panjang, implikasi bergantung kepada trajektori permintaan tenaga global dan ekonomi pengeluaran. Pengeluar kos rendah dengan kapasiti pengembangan berdepan tekanan untuk mempercepatkan pengeluaran selagi permintaan kekal tinggi.
Green menjelaskan, dalam jangka panjang, keadaan ini mencerminkan permulaan perubahan strategik.
“Pengeluar berskala besar dan kos rendah memberi keutamaan kepada volum, dengan matlamat menjana hasil daripada rizab sebelum permintaan mencapai tahap mendatar. Disiplin kolektif menjadi semakin sukar dikekalkan dan persaingan dalam pasaran semakin meningkat.”
Pasaran kini sudah memberi reaksi merentas kelas asset dengan saham tenaga meningkat seiring harga minyak, manakala jangkaan inflasi kekal sensitif terhadap kekuatan harga minyak berikutan kesan langsung kepada kos pengangkutan dan industri.
Menurut Green, pasaran tenaga kini semakin sukar dibaca.
“Keputusan bersama semakin berkurangan, tindakan bebas meningkat, dan tekanan geopolitik yang memuncak bermakna harga berkemungkinan lebih kerap berubah dan menyesuaikan diri dengan lebih pantas,” katanya. – MalaysiaGazette
















