Lai Yong Keong hadir mewakili Profusion Petroleum Sdn Bhd.

BUTTERWORTH – Sebuah syarikat jualan runcit bahan api didenda RM130,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan berkaitan pemberian maklumat palsu dan keengganan mengemukakan dokumen pembelian diesel pada 2023.

Pengakuan bersalah itu dibuat oleh pengarah syarikat, Lai Yong Keong, 47, yang hadir mewakili Profusion Petroleum Sdn Bhd selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan pertama, Syarikat Profusion Petroleum Sdn Bhd selaku pemegang lesen borong diesel didakwa memberikan maklumat palsu ketika mengemukakan dokumen di bawah Arahan Mengemukakan Maklumat mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961, membabitkan sembilan invois pembelian bahan api tersebut.

Bagi tiga lagi pertuduhan, syarikat itu didakwa enggan mengemukakan dokumen penyata bank syarikat bagi tempoh September 2022 hingga Februari 2023 seperti yang diarahkan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tingkat 2, Kompleks Sempilai Jaya, Seberang Jaya dekat sini, antara 18 Februai hingga 10 Mac 2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama, dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya KPDN, S. Preeya Darrsini memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan kes tersebut yang memberikan kesan kepada ekonomi negara dan rakyat. 

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Syazwan Mohd Salleh yang mewakili Orang Kena Saman (OKS) memohon agar hukuman minimum dikenakan dengan alasan kesalahan tersebut berlaku tanpa pengetahuan anak guamnya sehingga saksi hadir memberi keterangan di mahkamah dan didapati invois tersebut palsu.

Beliau turut memaklumkan bahawa situasi semasa berhubung krisis Asia Barat telah memberi kesan kepada perniagaan diesel syarikat itu sekali gus memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman dalam lingkungan jumlah jaminan yang telah dibayar sebelum ini.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM85,000 bagi pertuduhan pertama dan RM15,000 masing-masing bagi tiga pertuduhan lain, menjadikan jumlah keseluruhan RM130,000.

Mahkamah turut membenarkan wang jaminan sebanyak RM120,000 yang telah dibayar sebelum ini dikembalikan.

Selain itu, pihak pendakwaan juga bersetuju untuk menggugurkan empat pertuduhan terhadap OKS dan hanya mengekalkan empat pertuduhan terhadap syarikat berkenaan.

Pada 8 Mac 2024, Yong Keong mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan membabitkan kesalahan berkaitan pembelian diesel, namun beliau menukar pengakuan tersebut hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast