Imigresen mencekup 21 warga asing dalam Ops Sapu di kawasan rumah kongsi di tapak pembinaan, di Batu Pahat, Isnin lalu

BATU PAHAT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mencekup 21 warga asing dalam Ops Sapu di kawasan rumah kongsi di tapak pembinaan di sini Isnin.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, serbuan melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor Cawangan Batu Pahat pukul 9.30 malam.

“Serbuan mengejut mendapati semua warga asing terbabit yang dipercayai bekerja secara haram berada di rumah kongsi yang dijadikan tempat tinggal.

“Terdapat cubaan melarikan diri, namun berjaya dipatahkan anggota penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan yang ditahan, 14 adalah lelaki warga Indonesia, empat lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita warga Indonesia berusia antara 19 hingga 54 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sebahagian daripada mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) berkenaan yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dihantar ke Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan lanjut.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast