Peguam, N Surendran menunjukkan gambar seorang askar komando yang dipercayai dipukul ketika menjalani latihan di Kem Tentera Komando (Kem Iskandar), Mersing, Johor pada sidang media di Lawyers for Liberty, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2026.

PETALING JAYA – Seorang anggota komando muda kini bertarung nyawa apabila mengalami kecederaan parah sehingga sebahagian tengkoraknya terpaksa dikeluarkan, selepas insiden ketika latihan di Kem Tentera Komando (Kem Iskandar), Mersing, Johor, pada 11 Mac lalu.

Mangsa, Trooper Abdul Hamid Talib, 25, kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dalam keadaan tidak sedarkan diri, tidak mengenali persekitaran, tidak mampu bercakap, menerima pemakanan melalui tiub serta bergantung kepada bantuan pernafasan melalui trakeostomi.

Perkara itu didedahkan Lawyers for Liberty (LFL) menerusi wakilnya, N Surendran dalam sidang media hari ini yang turut dihadiri ahli keluarga mangsa serta barisan peguam.

Peguam yang mewakili keluarga, Suzana Norlihan Alias, turut hadir dan difahamkan mengambil kes itu secara pro bono, manakala keluarga mangsa dilaporkan berasal dari Sabah.

Menurut Surendran, keluarga pada awalnya dimaklumkan mangsa hanya ‘terjatuh’ namun penjelasan itu disifatkan tidak munasabah memandangkan tahap kecederaan yang dialami.

“Bagaimana seorang yang sihat dihantar ke kem, kemudian ‘jatuh’ dan berakhir dengan keadaan seperti ini? Kita difahamkan sebahagian tempurung kepala sudah dikeluarkan.

“Kecederaan sebegini tidak konsisten dengan dakwaan jatuh biasa. Ini menimbulkan persoalan serius tentang apa sebenarnya berlaku,” katanya pada sidang media di pejabat LFL di sini hari ini.

Gambar seorang askar komando yang dipercayai dipukul ketika menjalani latihan di Kem Tentera Komando (Kem Iskandar), Mersing, Johor pada sidang media di Lawyers for Liberty, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2026.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan insiden itu berlaku ketika mangsa dikenakan satu bentuk hukuman disiplin, malah terdapat dakwaan hukuman tersebut bukan berpunca daripada kesalahan mangsa sendiri.

Tambahnya, LFL turut menerima maklumat daripada saksi termasuk anggota tentera yang menghubungi secara peribadi melalui aplikasi WhatsApp dan Messenger, mendakwa amalan hukuman fizikal tidak sah merupakan perkara biasa dalam unit tertentu dan diketahui pihak atasan.

“Kami diberitahu ini adalah ‘tradisi’ yang telah lama berlaku. Jika benar, ini amat membimbangkan kerana melibatkan keselamatan anggota sendiri,” dedah beliau.

Dalam pada itu, Surendran mendedahkan laporan perubatan mangsa pada awalnya tidak diserahkan kepada keluarga, dipercayai atas arahan pegawai perundangan tertentu bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

“Kami melihat ini sebagai satu usaha untuk menghalang keluarga daripada mendapatkan keadilan. Akses kepada dokumen penting seperti laporan perubatan tidak sepatutnya disekat,” katanya.

Menurutnya, laporan polis telah dibuat pada 14 Mac oleh abang mangsa, namun sehingga kini, hampir 50 hari berlalu tanpa sebarang perkembangan siasatan atau tindakan diambil terhadap mana-mana pihak.

“Malah lebih membimbangkan, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak tentera, Kementerian Pertahanan atau kerajaan mengenai insiden serius ini.

“Bagaimana kerajaan boleh terus berdiam diri?” katanya.

Beliau turut mendakwa lawatan pegawai atasan ke hospital hanya berlaku selepas kes itu tular di media sosial, manakala Panglima Angkatan Tentera dikatakan masih belum melawat mangsa setakat ini.

Selain itu, Surendran berkata, pihak kem juga didakwa berulang kali menghubungi keluarga untuk bertanya bila mangsa boleh dikeluarkan dari hospital bagi ditempatkan semula di Mersing.

Reaksi ibu mangsa, Josmah Dum menahan sebak pada sidang media berhubung dengan serangan teruk terhadap seorang askar komando muda dan kecederaan yang dialami semasa menjalani latihan di Kem Tentera Komando (Kem Iskandar), Mersing, Johor di Lawyers for Liberty, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2026.

“Malah ada cadangan supaya mangsa ditempatkan di rumah sewa. Ini tidak masuk akal memandangkan keadaan beliau yang masih kritikal dan memerlukan rawatan rapi,” katanya.

Dari sudut kebajikan, beliau berkata, keluarga mangsa kini berdepan beban berat apabila seorang abang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga mangsa, manakala seorang lagi hanya berpendapatan sekitar RM2,500 sebulan.

Tambahnya, keperluan asas seperti lampin pakai buang, tisu basah dan sarung tangan juga didakwa tidak disediakan oleh pihak berkaitan, menyebabkan keluarga terpaksa menanggung sendiri kos penjagaan.

“Dia seorang anggota elit negara yang kini lumpuh dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga, tetapi kebajikannya seolah-olah diabaikan,” katanya.

Sehubungan itu, Surendran menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ketua Polis Negara menubuhkan pasukan khas Bukit Aman bagi menyiasat kes berkenaan secara menyeluruh dan telus.

Beliau juga menggesa semua anggota tentera termasuk pegawai atasan yang terlibat digantung tugas sepanjang siasatan dijalankan bagi mengelakkan sebarang gangguan atau tekanan terhadap keluarga mangsa.

“Kami berpendapat kes ini wajar disiasat sebagai percubaan membunuh, dan semua pihak terlibat perlu berdepan pertuduhan sewajarnya,” katanya.

Peguam, N Surendran bersama ahli keluarga mangsa pada sidang media berhubung dengan serangan teruk terhadap seorang askar komando muda dan kecederaan yang dialami semasa menjalani latihan di Kem Tentera Komando (Kem Iskandar), Mersing, Johor di Lawyers for Liberty, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2026.

Selain itu, LFL turut menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan amalan hukuman fizikal tidak sah dalam kalangan unit tertentu serta memastikan akauntabiliti penuh terhadap insiden tersebut.

“Seorang ibu menghantar anaknya ke kem dalam keadaan sihat, tetapi keluar dalam keadaan begini.

“Berapa banyak lagi kes seperti ini yang tidak diketahui? Kebenaran mesti didedahkan dan keadilan mesti ditegakkan,” katanya. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast