KUALA LUMPUR – Usaha peralihan tenaga di seluruh dunia terus berkembang pesat walaupun berdepan persekitaran geopolitik yang semakin kompleks, dengan pelaburan global dianggarkan mencecah AS$3.3 trilion (AS$1 = RM3.95) tahun lalu.
Menurut Energy Watch, pertumbuhan tenaga bersih kini didorong oleh keutamaan terhadap keselamatan dan kemampuan tenaga, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai tonggak pembangunan negara yang lebih praktikal dan berdaya tahan.
Menerusi artikel bertajuk “Global Outlook: A New Energy Reality Takes Shape in 2026”, ia menyatakan peralihan tenaga kini bukan lagi hanya bergantung kepada sasaran iklim jangka panjang, sebaliknya turut dipacu keperluan beroperasi dalam persekitaran tenaga yang lebih berpecah dan berdaya saing.
“Berbanding hanya memberi tumpuan terutama kepada sasaran iklim jangka panjang, kerajaan lebih menekankan kepada pembangunan industri kritikal, memperkukuh keupayaan domestik dan menjamin pekerjaan masa depan dan pada masa sama menguruskan pelbagai risiko saling berkaitan yang semakin meningkat,” menurut laporan itu.
Energy Watch menjelaskan perkembangan ini menandakan fasa peralihan tenaga yang lebih tertumpu kepada pelaksanaan pada 2026, dipacu keupayaan pelaksanaan, kesediaan serta daya saing dalam landskap yang berubah pantas.
Menurutnya lagi, hala tuju perubahan itu semakin jelas dengan tiga trend utama iaitu kecerdasan buatan (AI), daya tahan grid tenaga dan persaingan tenaga hijau yang semakin meningkat, yang membentuk pelaburan, dasar serta daya saing global.
AI kini menjadi antara pemacu utama sektor tenaga apabila permintaan elektrik meningkat hasil pertumbuhan pusat data, perkhidmatan awan dan infrastruktur digital.
Anggaran menunjukkan permintaan elektrik pusat data boleh meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2030 kepada kira-kira 945 terawatt jam, dengan Amerika Syarikat dan China mencatat permintaan tertinggi, diikuti negara Asia termasuk Asia Tenggara.
Dalam masa sama, AI turut membantu mengubah pengurusan sistem tenaga melalui peningkatan kecekapan, kebolehramalan dan prestasi sistem secara keseluruhan.
Sebagai syarikat utiliti utama negara, Tenaga Nasional Bhd turut berada di barisan hadapan transformasi ini dengan penggunaan AI dalam operasi termasuk penyenggaraan jangkaan, pengimbangan beban dan ramalan cuaca.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Shamsul Ahmad, berkata sinergi itu turut menjadi tumpuan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) bertemakan ‘Tenaga & AI: Sinergi untuk Peralihan Tenaga’.
Energy Watch turut menegaskan walaupun AI penting, ia memberi tekanan besar kepada kapasiti penjanaan elektrik dan infrastruktur grid yang perlu disesuaikan dengan perubahan pesat sistem tenaga moden.
Sistem grid tradisional yang direka untuk aliran tenaga sehala kini tidak lagi mencukupi untuk menampung sumber tenaga boleh baharu yang berubah-ubah serta aliran tenaga pelbagai arah.
Sehubungan itu, pelaburan global kini tertumpu kepada naik taraf grid, pendigitalan sistem serta teknologi penyimpanan tenaga bagi meningkatkan daya tahan sistem.
Keperluan ini turut dipacu risiko perubahan iklim ekstrem, ketidaktentuan geopolitik dan ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat.
“Sekitar AS$21 trilion diperlukan untuk naik taraf grid menjelang 2050 bagi membina rangkaian yang lebih fleksibel dan berdaya tahan. Walaupun angka ini besar, ia perlu ditimbang dengan kos tidak bertindak yang jauh lebih tinggi, dianggarkan sekitar US$38 trilion setahun,” menurut laporan itu.
Dalam masa sama, persaingan dalam rantaian bekalan tenaga bersih turut meningkat apabila negara bersaing mendapatkan pelaburan, mineral kritikal dan kapasiti pembuatan.
Peralihan tenaga kini dilihat sebagai strategi ekonomi dan perindustrian utama, bukan sekadar agenda alam sekitar, dengan kerajaan melaksanakan insentif cukai, subsidi dan dasar perdagangan bagi memperkukuh industri domestik.
Energy Watch turut menjelaskan campuran tenaga pada 2026 akan lebih pragmatik dengan gabungan tenaga boleh baharu, kapasiti asas, storan dan sumber peralihan, bergantung kepada kemampuan kos terutama di negara membangun.
Di peringkat serantau, negara Asia Tenggara semakin memperkukuh integrasi tenaga melalui Grid Tenaga ASEAN (APG) serta penyelarasan rangka kerja kawal selia bagi perdagangan elektrik rentas sempadan.
Satu perkembangan penting berlaku pada Januari 2026 apabila TNB menandatangani perjanjian tiga pihak dengan utiliti di Laos dan Thailand bagi membolehkan bekalan tenaga boleh baharu dihantar ke Singapura.
Energy Watch berkata peralihan tenaga kini memasuki fasa pelaksanaan, dengan fokus beralih kepada bagaimana transformasi itu dapat dilaksanakan secara lebih berkesan melalui tindakan terkoordinasi dan kerjasama serantau.
– BERNAMA
















