KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,700 satu tan pada Oktober dan berkemungkinan sepanjang baki tahun ini, didorong ketidaktentuan cuaca serta pasaran tenaga yang menggalakkan.
Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat sederhana sebanyak 1.4 peratus bulan ke bulan kepada 1.81 juta tan pada Ogos 2026, disokong peningkatan kutipan buah tandan segar (BTS) serta kadar perahan minyak yang bertambah baik berbanding Julai.
Bagaimanapun, pengeluaran itu masih lebih rendah berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus mencatatkan penurunan tahun ke tahun bagi bulan keenam berturut-turut sejak Mac 2026.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, eksport minyak sawit terkumpul meningkat sebanyak 806,000 tan kepada 10.4 juta tan.
Namun, eksport pada Ogos susut 7.5 peratus bulan ke bulan kepada 1.29 juta tan, dipengaruhi penghantaran yang lebih rendah ke Asia Selatan dan Timur Tengah.
MPOC berkata, walaupun berlaku penurunan bulanan, eksport bagi keseluruhan tahun diunjurkan mencapai 16 juta tan, meningkat 5.2 peratus berbanding jumlah yang direkodkan pada 2025.
Gabungan peningkatan pengeluaran dan penyusutan eksport menyebabkan stok minyak sawit meningkat kepada 2.82 juta tan pada Ogos.
Bagaimanapun, katanya, tahap pengeluaran dan stok di Malaysia serta Indonesia dijangka berkurangan dalam beberapa bulan akan datang.
Prestasi minyak sayuran global pula bercampur pada September dengan harga minyak sawit Malaysia mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 3.5 peratus, diikuti minyak kacang soya Argentina yang naik 3.3 peratus.
Sebaliknya, harga minyak bunga matahari Argentina merosot 6.1 peratus manakala minyak rapeseed Eropah turun kecil sebanyak 0.4 peratus.
MPOC menambah, penurunan ketara harga minyak bunga matahari didorong tekanan bekalan yang meningkat susulan Ukraine dan Rusia memasuki musim menuai biji bunga matahari pada September.
Dalam pada itu, cuaca kering berkaitan El Nino semakin ketara di Malaysia dan Indonesia sejak awal Ogos, mencetuskan kebimbangan terhadap kesannya kepada pengeluaran minyak sawit dalam tempoh enam hingga sembilan bulan akan datang.
Hujan di Indonesia adalah kira-kira 20 peratus di bawah purata pada Julai dan 60 peratus lebih rendah daripada purata pada Ogos.
Malaysia, katanya, turut mengalami keadaan lebih kering dengan jumlah hujan sekitar 30 peratus di bawah purata pada Ogos.
Menurut Oil World, pengeluaran minyak sawit Indonesia pada 2027 diramalkan susut 1.9 juta tan, manakala Malaysia dijangka mengalami penurunan sebanyak 700,000 tan.
Eksport Indonesia pula diunjurkan merosot hampir tiga juta tan pada 2027, mencerminkan peningkatan permintaan domestik bagi campuran biodiesel serta prospek pengeluaran yang lebih lemah.
Di Malaysia, eksport dijangka kekal stabil sekitar 16 juta tan pada 2027, menjadikan negara itu semakin penting dalam membekalkan minyak sawit kepada pengguna global.
Sehubungan itu, MPOC berkata, tahap stok yang tinggi ketika ini dijangka hanya bersifat sementara.
Pengeluaran global empat minyak sayuran utama pula diunjurkan meningkat sebanyak 3.1 juta tan tahun depan, manakala penggunaan dijangka bertambah 6.1 juta tan, jauh mengatasi pertumbuhan pengeluaran.
Kekurangan bekalan itu terutama disebabkan jangkaan kemerosotan pengeluaran minyak sawit di Asia Tenggara, manakala peningkatan pengeluaran di Amerika Latin dijangka tidak mencukupi untuk mengimbangi penurunan berkenaan.
Bagaimanapun, perkembangan cuaca pada Oktober dan November akan menjadi faktor penting dalam menentukan kesan sebenar terhadap pengeluaran pada 2027.
Sementara itu, gangguan pasaran tenaga bertambah buruk susulan penutupan kemudahan saluran paip East-West Arab Saudi selepas konflik semakin memuncak.
Keadaan itu menambah kebimbangan terhadap bekalan sedia ada susulan gangguan perkapalan di Selat Hormuz dan Selat Bab al-Mandab.
Kesannya, margin campuran biofuel bertambah baik. Harga gasoil meningkat 147 peratus sejak awal tahun sehingga pertengahan September, manakala harga minyak mentah naik 73 peratus.
Kenaikan tersebut jauh mengatasi peningkatan 21 peratus harga CPO dalam tempoh sama.
Harga minyak sawit mentah domestik Indonesia pula didagangkan sekitar AS$600 satu tan lebih rendah berbanding harga gasoil ICE pada September.
Berdasarkan perkembangan itu, harga CPO dijangka kekal kukuh melebihi RM4,700 satu tan pada Oktober dan berkemungkinan berterusan sepanjang baki tahun ini.
Antara faktor utama yang menyokong harga ialah ketidaktentuan cuaca serta keadaan pasaran tenaga yang menggalakkan.
Bagaimanapun, risiko penurunan termasuk kemungkinan harga tenaga kembali reda serta peningkatan lanjut stok minyak sawit, memandangkan pengeluaran lazimnya mencapai kemuncak bermusim pada September atau Oktober. – MalaysiaGazette
















