Kerja penyelenggaraan jalan di kawasan Persisir Pulai Jaya Utara 2, Taman Pulai Jaya, Johor Bahru menjadi punca kesesakan sejak minggu lalu.

JOHOR BAHRU – Kerja penyelenggaraan jalan di kawasan Persisir Pulai Jaya Utara 2, Taman Pulai Jaya di sini menjadi punca kesesakan sejak minggu lalu.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, proses membaiki dan menurap dilakukan tidak sesuai pada waktunya.

“Kesesakan yang berlaku jelas menunjukkan bahawa pelaksanaan kerja-kerja ini tidak mengambil kira implikasi trafik secara menyeluruh.

“Ini termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan di kedua-dua laluan secara serentak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, begitu juga penutupan kedua-dua jalan susur utama dari dan ke Taman Pulai Jaya yang menghubungkan laluan Pontian-Skudai menyumbang kesesakan.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor itu berpandangan, situasi itu sepatutnya boleh dielakkan sekiranya wujud koordinasi lebih baik antara agensi.

Katanya, koordinasi sepatutnya melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), polis trafik, pihak konsesi serta kontraktor bagi merancang pelaksanaan kerja dengan mengambil kira faktor jumlah kenderaan di kawasan tersebut.

Selain itu ujarnya, aspek masa pelaksanaan juga perlu diberi perhatian, termasuk mengambil kira tempoh cuti sekolah yang akan bermula dari 23 Mei hingga 7 Jun lalu bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya.

“Amanah Johor mengambil maklum komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan solusi segera, termasuk membuka semula laluan dua hala di Jalan Pulai Emas pada 2 Mei.

“Begitu juga menyiapkan keseluruhan kerja penyelenggaraan menjelang 5 Mei 2026. Amanah Johor berharap janji ini dapat dilaksanakan mengikut jadual demi mengurangkan beban rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama Amanah Johor menegaskan bahawa isu ini memerlukan perancangan jangka panjang yang lebih tuntas, khususnya bagi menangani kesesakan di sepanjang Jalan Pontian dari Pekan Nenas ke Skudai yang semakin kritikal akibat pertambahan kawasan perumahan baharu.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast