Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika ditemui wartawan pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyDigital ID Sdn Bhd dan rakan kerjasama strategik di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2026.

PUTRAJAYA – Status Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan akan dibawa ke meja perundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, sebarang permasalahan perlu dibincangkan bersama melalui meja rundingan yang dipandu oleh Perjanjian 18 Perkara yang menjadi asas kerjasama di antara BN dan PH.

“Di antara perjanjian itu, jika ada dispute ataupun ada permasalahan yang harus kita sama-sama depani, maka kita kembali ke meja perbincangan untuk membincangkannya bagi membolehkan kita sama-sama mencapai penyelesaiannya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Forum ‘Mydigital ID: Powering Trusted Digital Access Across Malaysia’s Digital Ecosystem’, hari ini.

Tambah beliau, Perdana Menteri selaku Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai seorang pemimpin yang terbuka untuk mencari jalan penyelesaian bersama.

“Dan pada hemat saya, Perdana Menteri sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kita sama-sama melihat jika ada perkara-perkara secara perinciannya boleh kita selesaikan cara bersama,” katanya lagi.

Mengulas dakwaan berhubung kemungkinan pelantikan Menteri Besar baharu di Negeri Sembilan, Ahmad Zahid bagaimanapun tidak mengesahkan perkara tersebut.

“Itu adalah satu perkara yang lain lagi. (Ketawa),” katanya.

Apabila ditanya sama ada situasi semasa di Negeri Sembilan akan membawa kepada perubahan kepimpinan negeri, beliau enggan memberikan jawapan lebih lanjut.

“Hanya Allah saja yang tahu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast